Northport pecah rekod kendali 11.4 juta FWT segmen kargo konvensional pada 2023 | DagangNews Skip to main content

Northport pecah rekod kendali 11.4 juta FWT segmen kargo konvensional pada 2023

Datuk Azman Shah Mohd Yusof bersama para kakitangan Northport meraikan pencapaian tersebut pada acara sambutan Tahun Baharu 2024 di Dermaga 8A, Northport, Pelabuhan Klang, Selangor baru-baru ini.
Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 4 Jan - Northport (Malaysia) Bhd ahli Kumpulan MMC, mencatat rekod baru kendalian kargo konvensional setelah mengendalikan 11.4 juta 'Freight Weight Tonnes (FWT)' kargo konvensional pada 2023. 

 

Prestasi pecah rekod itu mengatasi pencapaian sebelumnya, iaitu sebanyak 11.1 juta FWT yang dicatatkan pada 2022.

 

Ketua Pegawai Eksekutif Northport, Datuk Azman Shah Mohd Yusof berkata, segmen kargo konvensional menutup tirai tahun 2023 dengan kejayaan yang cukup membanggakan setelah mengatasi rekod yang dicatat pada tahun sebelumnya dengan peningkatan sebanyak 2.6%.

 

Katanya, prestasi pecah rekod kargo konvensional Northport disumbangkan peningkatan ketara dalam kendalian kargo pukal am, yang telah mencatat pertumbuhan sebanyak 9.5% berbanding tahun sebelumnya serta peningkatan bagi segmen kargo pukal kering dan pukal. 

 

"Dalam segmen 'Roll-on Roll-off (RoRo)', syarikat juga menyaksikan peningkatan yang ketara dalam pengendalian kenderaan elektrik (EV) pada 2023, berikutan polisi kerajaan mempromosikan kenderaan elektrik," katanya dalam kenyataan media di sini, hari ini.

 

Menurut Azman, Northport juga mencatatkan kendalian bulanan bagi kargo konvensional tertinggi pada Oktober dengan merekodkan 1.13 juta FWT, mengatasi rekod terbaik sebelum ini iaitu 1.08 juta FWT yang dicapai pada Mei 2022. 

 

"Kami mengalami kekangan daripada segi keluasan tanah, namun telah mengatasinya melalui produktiviti yang tinggi dan penambahbaikan proses. 

 

"Kejayaan ini mempunyai makna istimewa buat Northport, terutamanya kerana ia dicapai semasa Northport menyambut ulang tahun ke-60 operasi pelabuhan di terminal Pelabuhan Utara pada 27 Disember 2023," katanya.

 

Beliau berkata, kejayaan Northport pada 2023 hadir di sebalik penuh cabaran, disebabkan dunia mengalami pemulihan ekonomi yang perlahan dari negara-negara perdagangan utama serta ketidakpastian perdagangan global, terutamanya pada separuh pertama 2023. 

 

Katanya, bagi operasi kargo konvensional pula, syarikat menghadapi cabaran tambahan dalam mengendalikan kargo semasa musim hujan terutamanya pada suku terakhir 2023. 

 

"Kebiasaannya, operasi kargo konvensional akan dihentikan semasa hujan. Disebabkan cabaran-cabaran ini, prestasi pecah rekod pada 2023 merupakan satu pencapaian yang amat membanggakan," katanya. - DagangNews.com