Northport terima perkhidmatan baharu Wan Hai Lines menghubungkan Asia - Pantai Timur Amerika Syarikat | DagangNews Skip to main content

Northport terima perkhidmatan baharu Wan Hai Lines menghubungkan Asia - Pantai Timur Amerika Syarikat

Oleh NABILA YASMIN RAZIB
[email protected]

 

KUALA LUMPUR 2 Nov -  Northport (Malaysia) Bhd (Northport), menerima perkhidmatan baharu syarikat perkapalan Wan Hai Lines yang menghubungkan Asia dan Pantai Timur Amerika Utara. 

 

Ketua Pegawai Eksekutif Northport, Dato' Azman Shah Mohd Yusof berkata, perkhidmatan baharu yang dilancarkan pada Jun 2021, dikenali sebagai Perkhidmatan AA7, membuat pelayaran sulungnya melalui perairan Malaysia ke Northport pada 2 November 2021.

 

"Northport berbesar hati menjadi salah satu pelabuhan singgahan untuk perkhidmatan AA7 Wan Hai Lines yang menghubungkan Asia dan Pantai Timur Amerika Syarikat (AS).

 

"Bagi Northport, perkhidmatan ini amat penting kerana ia merupakan perkhidmatan pertama yang menghubungkan pelabuhan kami dengan pelabuhan di AS sejak April 2017. 

 

"Kami percaya perkhidmatan terus dari Pelabuhan Klang ke Pantai Timur AS akan meningkatkan lagi kapasiti dan kecekapan pelabuhan Malaysia, terutamanya dalam menghubungkan pengeksport dan pengimport tempatan dengan pasaran AS, dalam jangka masa transit yang kompetitif," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

 

Sementara itu Wan Hai Lines berkata, singgahan di terminal Northport adalah pengembangan perkhidmatan AA7nya bagi mengukuhkan rangkaian antara Asia dan Pantai Timur AS, dengan menjangkakan permintaan yang berterusan dan kukuh dalam kedua-dua pasaran. 

 

Ujarnya, perkhidmatan AA7 beroperasi dengan sebelas buah kapal kontena berkapasiti 2,800 hingga 4,000 TEU.

 

"Pelabuhan-pelabuhan singgahan untuk perkhidmatan AA7 termasuk pelabuhan Ningbo (China), Taipei (Taiwan), Xiamen (China), Shekou (China), Cai Mep (Vietnam), Pelabuhan Klang – Northport (Malaysia), New York (Pantai Timur AS), Savannah (Pantai Timur AS) dan Ningbo (China)," katanya.

 

Hubungan perniagaan Wan Hai Lines dengan Northport bermula lebih tiga dekad yang lalu dengan bermulanya perkhidmatan Singapura/Malaysia di Northport pada Jun 1989, dengan hanya 7,500 TEU dikendalikan dalam tahun itu. 

 

Sejak dari itu, Wan Hai Lines telah berkembang dengan pesat dan pada tahun 2015, syarikat perkapalan yang berpangkalan di Taiwan tersebut menjadi syarikat perkapalan pertama yang berjaya mencapai 1 juta TEU dalam setahun di Northport. -DagangNews.Com