KUALA LUMPUR 18 Nov – NWP Holdings Berhad mengumumkan pelantikan Datuk Mohd Ashri Muda sebagai Pengerusi Bebas Bukan Eksekutif, menggantikan David Yew Onn Chong, berkuatkuasa serta-merta.
NWP terlibat di dalam industri berasas kayu khususnya acuan kayu, penyebuan kayu dan salutan kayu, perdagangan kayu potong, papan lapis dan venier, peruntukan bagi perkhidmatan mengeringkan tanur, perkhidmatan kilang papan dan perniagaan produk pertanian.
Kumpulan syarikat, dalam usahanya untuk berkembang, juga telah meluas ke segmen perniagaan baharu termasuk automotif dan pembangunan dan pengurusan hartanah pada 2020.
Dalam peranannya sebagai Pengerusi, Mohd Ashri akan bertanggungjawab menerajui Lembaga Pengarah NWP dan memantau perniagaan kumpulan.
Ketua Pegawai Eksekutif NWP, Kenny Yap yang mengalu-alukan pelantikan Mohd Ashri berkata, seiring dengan matlamat Kumpulan untuk mempercepatkan pertumbuhan di dalam dunia korporat, adalah penting untuk melantik individu yang memiliki pengalaman luas dan azam yang kuat untuk menerajui syarikat.
‘’Dengan pelantikan ini, kami yakin dan optimistik bahawa Datuk Mohd Ashri, berbekalkan pengalaman berharga beliau, akan memacu kemajuan yang lebih lagi untuk Kumpulan,’’ katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Mohd Ashri memiliki pengalaman hampir tiga dekad di dalam perkhidmatan awam iaitu Kementerian Luar dan pernah menjadi Duta Malaysia ke Sudan dan Argentina, masing-masingnya pada 2011 dan 2014.
Tugasan terakhir beliau adalah sebagai Duta Malaysia ke Korea Selatan dari Februari 2019 sehingga Disember 2020. – DagangNews.com