KUALA LUMPUR 1 Sept - FGV Holdings Bhd. masih berdepan dengan risiko nyahsenarai daripada Papan Utama Bursa Malaysia, justeru, CGS-CIMB Research mengekalkan saranan 'pegang' terhadap saham syarikat perladangan itu.
Menurut firma itu, bursa menolak permohonan FGV baru-baru ini untuk mendapatkan lanjutan enam bulan lagi bagi memenuhi sebaran pegangan saham awam memandangkan ia merancang untuk merangka pelan bagi memenuhi sebaran pegangan awam.
"Disebabkan ketidakpastian mengenai rancangannya untuk memenuhi sebaran awam ini, kami mengekalkan saranan 'pegang' dengan harga sasaran tidak berubah pada RM1.69 sesaham (30% premium kepada harga tawaran sebelumnya).
"Malah, kami melihat harga sahamnya disokong oleh kemungkinan tawaran penswastaan dan hasil 6.6% bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2022 (FY22)," katanya dalam nota kajian hari ini.
Pada awal Ogos lalu, pemegang saham terbesarnya, Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) telah meningkatkan pegangan sahamnya dalam syarikat itu selepas memperoleh sejumlah 2.32 juta saham atau 0.06% kepentingan daripada pasaran terbuka.
Felda membeli satu juta saham dalam FGV pada 1 Ogos, diikuti 1.32 juta saham lagi pada 4 Ogos, menjadikan pegangan langsungnya kepada 68.68% (2.51 bilion saham).
Sementara itu, kepentingan tidak langsung Felda dalam FGV berjumlah 12.42% (452.92 juta saham), menjadikan pegangan saham terkumpulnya kepada 81.1%. Secara keseluruhan, Felda memiliki 2.96 bilion saham dalam FGV.
Baca : Harga sawit tinggi lonjak untung bersih FGV kepada RM743.26 juta pada separuh pertama
Dalam pada itu, CGS-CIMB menjangkakan pendapatan FGV pada separuh kedua 2022 lebih lemah berbanding separuh pertama ekoran harga minyak sawit mentah yang lebih rendah.
Menurutnya, harga minyak sawit mentah semasa sebanyak RM4,193 satu tan metrik adalah 20% lebih rendah di bawah harga pada separuh pertama.
"Kenaikan 25% gaji minimum turut menjejaskan kos dengan ketara pada separuh kedua ini memandangkan ia berkuat kuasa pada 1 Mei," jelasnya.
Tambahnya, FGV mengurangkan pertumbuhan pengeluaran tandan buah segar pada tahun ini kepada -3% daripada jangkaan satu digit sebelum ini disebabkan masalah kekurangan buruh.
Ini kerana katanya, jumlah pekerja buruhnya hanya merangkumi 62% pada Ogos berbanding 64% setakat akhir Mei yang menunjukkan kekurangan kira-kira 13,096 pekerja.
"Kumpulan telah mendapatkan premit pekerja asing untuk 12,900 pekerja dan kini sedang mencari untuk mengambil mereka kebanyakannya dari India, dan beberapa dari Indonesia.
"Baru-baru ini juga, FGV mengambil 647 pekerja asing dari India dan berharap untuk mendapatkan kira-kira 7,000 pekerja asing baharu menjelang akhir 2022," katanya.
Firma itu berkata, kos pengeluarannya meningkat 30% dan 16% tahun ke tahun masing-masing kepada RM2,203 satu tan metrik dan RM2,125 satu tan metrik pada suku kedua dan separuh pertama 2022 disebabkan terutamanya harga baja yang lebih tinggi.
Pada separuh pertama, untung bersih FGV meningkat lebih sekali ganda kepada RM743.26 juta daripada RM303.4 juta dengan pendapatan melonjak 64% kepada RM13.28 bilion daripada RM8.08 bilion bagi tempoh sama tahun sebelumnya.
Prestasi lebih baik ini didorong harga minyak sawit mentah direalisasikan pada separuh pertama 2022 adalah 58% lebih tinggi mencecah sehingga RM5,165 satu metrik berbanding RM3,268 satu tan metrik pada separuh pertama 2021.
Setakat 9.12 pagi ini, harga saham FGV kekal tidak berubah pada RM1.52 dengan 17,700 saham diniagakan. -DagangNews.com