Harga sawit tinggi lonjak untung bersih FGV kepada RM743.26 juta pada separuh pertama | DagangNews Skip to main content

Harga sawit tinggi lonjak untung bersih FGV kepada RM743.26 juta pada separuh pertama

Oleh ZUNAIDAH ZAINON

KUALA LUMPUR 30 Ogos - Untung bersih FGV Holdings Bhd. bagi suku kedua berakhir 30 Jun 2022 meningkat kepada RM374.02 juta daripada RM338.82 juta bagi tempoh sama tahun sebelumnya berikutan harga minyak sawit mentah yang lebih tinggi. 

 

Pendapatan bagi tempoh itu turut meningkat kepada RM7.43 bilion berbanding RM4.68 bilion bagi tempoh sama tahun kewangan 2021, menurutnya dalam makluman di Bursa Malaysia hari ini. 

 

Ini menyaksikan untung bersih pada separuh pertama meningkat lebih sekali ganda kepada RM743.26 juta daripada RM303.4 juta dengan pendapatan melonjak 64% kepada RM13.28 bilion daripada RM8.08 bilion bagi tempoh sama tahun sebelumnya. 

 

Harga minyak sawit mentah direalisasikan pada separuh pertama 2022 adalah 58% lebih tinggi mencecah sehingga RM5,165 satu metrik berbanding RM3,268 satu tan metrik pada separuh pertama 2021.

 

Selain harga minyak sawit mentah, prestasi kukuh itu juga didorong prestasi sektor logistik kumpulan yang lebih tinggi dengan keuntungan operasi meningkat 41% kepada RM52 juta daripada RM37 juta berikutan kadar pengendalian dan pengangkutan yang lebih baik.

 

Bagaimanapun, keputusan kewangan itu sebahagiannya diimbangi dengan kerugian daripada sektor gula FGV, MSM Malaysia Holdings Bhd. disebabkan kenaikan kos pengeluaran input.

 

Kumpulan mengumumkan dividen interim 4 sen sesaham, berjumlah RM146 juta yang akan dibayar pada suku ketiga 2022.

 

Mohd. Nazrul Izam
Mohd. Nazrul Izam

 

 

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan FGV, Datuk Mohd. Nazrul Izam berkata, berdasarkan prestasi separuh pertama, ia menunjukkan kumpulan berada di landasan yang betul untuk mencapai trajektori pertumbuhan dan kekal optimis dengan berhati-hati ke arah mencapai sasaran 2022.

 

Namun, katanya, masalah buruh telah menjejaskan produktivitinya kerana kerugian tanaman

 

"Bagi menangani ini, kami sedang giat mengambil pekerja dari negara tuan rumah dan sehingga Julai, kami telah menerima 647 pekerja asing dari India.

 

"Jumlah pekerja kami pada masa ini berada pada 62% dan kami optimis untuk menerima 7,000 pekerja menjelang akhir tahun untuk meningkatkan pengeluaran," katanya.

 

Mengenai prospek kumpulan, beliau berkata, FGV berhasrat untuk muncul sebagai syarikat perniagaan tani dan makanan global dengan kedudukan yang kukuh dalam pasaran akhir pengguna.

 

Menurutnya, tumpuan itu membolehkan kumpulan bergerak daripada perniagaan perladangan minyak sawit.

 

"Sebagai sebuah organisasi yang telah terlibat dalam industri makanan, perkembangan terbaharu bersama Baladna dan Touch Group untuk membangunkan perniagaan penternakan tenusu bersepadu di FGV Chuping Agro Valley (FCAV) membolehkan kami mengembangkan kehadirannya secara terpilih dalam industri makanan," jelasnya. - DagangNews.com