Nylex terima tawaran pengambilalihan oleh Ancom bernilai RM179.3 juta | DagangNews Skip to main content

Nylex terima tawaran pengambilalihan oleh Ancom bernilai RM179.3 juta

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
[email protected]

 

KUALA LUMPUR 29 Jun - Ahli Lembaga Pengarah Nylex (Malaysia) Berhad telah menerima tawaran pengambilalihan kesemua aset dan liabilitinya yang bernilai RM179.3 juta oleh syarikat pembuatan dan pembekal pertanian serta kimia perindustrian, Ancom Berhad. 

 

Perkara itu diumumkan Ancom dalam satu kenyataan, di mana merujuk kepada tawaran rasmi yang dibuat kumpulan kepada Nylex pada 28 April lalu.

 

Susulan penerimaan itu, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Ancom, Lee Cheun Wei berkata, langkah seterusnya adalah untuk mendapatkan kelulusan daripada pemegang saham masing-masing dalam Mesyuarat Agung Luar Biasa (EGM) yang akan diadakan kemudian. 

 

“Jika dilihat semula, Cadangan Pengambilalihan ini bakal menyaksikan Ancom sebagai salah satu pemain agrokimia bersepadu dan kimia perindustrian utama di rantau ini, mewujudkan sebuah kumpulan syarikat kimia yang lebih besar dan kukuh dengan minat yang merangkumi perniagaan agrokimia dan industri kimia di Malaysia dan pasaran dunia.

 

“Kami melihat ini sebagai satu langkah menang-menang, memandangkan pemegang saham Nylex akan menerima sebahagian tunai serta saham Ancom menerusi pengurangan modal dan langkah pembayaran semula selepas Cadangan Pengambilalihan ini selesai, seterusnya membolehkan mereka terus terlibat dalam pertumbuhan kumpulan yang lebih besar ini,” katanya dalam satu kenyataan. 

 

Kumpulan menjangkakan Cadangan Pengambilalihan ini selesai pada suku keempat tahun 2021 (4Q21), jika tiada masalah yang timbul dan semua syarat dipenuhi.

 

Selepas langkah pengambilalihan itu, Nylex akan dikategorikan sebagai sebuah syarikat tersenarai yang asetnya terdiri daripada 70% tunai atau pelaburan jangka pendek atau gabungan kedua-duanya (Cash Company) tanpa perniagaan utama.

 

Baca : Ancom mahu ambil alih Nylex sepenuhnya - Sumber

 

Susulan itu, jelas Ancom, Nylex perlu menghantar cadangan kepada Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) bagi mendapat kelulusan berhubung perniagaan utama baharu dalam tempoh 12 bulan daripada tarikh diklasifikasikan sebagai Cash Company.

 

Setakat makluman Nylex di Bursa Malaysia semalam, ia masih lagi merupakan anak syarikat kepada Ancom. 

 

Ancom bersama-sama anak syarikat milik penuhnya, Rhodemark Development Sdn. Bhd. secara terkumpul memegang 90,133,977 saham biasa dalam Nylex atau mewakili kira-kira 50.27% daripada jumlah terbitan saham modal syarikat.

 

Mengikut Surat Cadangan pengambilalihan itu, Nylex dicadangkan untuk mengedarkan sejumlah bersamaan RM164,287,212 kepada pemegang sahamnya, dan mengekalkan RM15 juta wang tunai sebagai modal kerja dan tujuan korporat umum termasuk pengambilalihan perniagaan baharu.

 

Pengambilalihan Nylex oleh Ancom bagaimanapun tidak akan mencetuskan sebarang tawaran berwajib oleh kumpulan dan pemegang saham Nylex akan terus memiliki 49.73% kepentingan ekuiti dalam syarikat setelah langkah itu selesai. - DagangNews.com