OCR Group sasar lancar pembangunan hartanah terbesar menjelang 1Q22, GDV RM750 juta | DagangNews Skip to main content

OCR Group sasar lancar pembangunan hartanah terbesar menjelang 1Q22, GDV RM750 juta

 OCR Group Berhad

Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
arief@dagangnews.com

 

 

KUALA LUMPUR 2 Ogos - Pemaju hartanah, OCR Group Berhad (OCR) meletakkan sasaran untuk melancarkan projek pembangunan hartanah terbesarnya menjelang suku pertama 2022 (1Q22).

 

Sasaran pembangunan berkenaan melibatkan nilai pembangunan kadar (GDV) sebanyak RM750 juta.

 

Projek hartanah syarikatnya di Shah Alam bakal dibangunkan dengan keluasan 26.9 ekar yang akan menempatkan 2,892 unit rumah mampu milik bersama blok perniagaan runcit yang bakal dibina secara berperingkat.

 

Secara keseluruhannya, projek berkenaan dijangka siap pada 2026.

 

Pengarah Urusan OCR Group, Billy Ong Kah Hoe berkata, projek pembangunan terbesar itu menunjukkan kemampuan 
pihaknya dalam bidang pembangunan hartanah.

 

Menurutnya, projek di Shah Alam itu membuka potensi yang besar dengan kelebihan dan keunikan persekitaran sedia ada seperti sekolah dan rekaan moden termasuk aspek komersial, kewangan dan rekreasi.

 

Katanya lagi, projek Shah Alam di bawah siri Essential Living pihaknya itu akan dijual dengan harga yang menarik bagi merialisasikan impian rakyat Malaysia untuk memiliki kediaman.

 

"Dengan kehadiran projek akan datang yang melibatkan GDV bernilai RM105.9 juta di Jalan Alor Kuala Lumpur, pelancaran pembangunan OCR bagi tempoh dua tahun lagi akan meningkat kepada RM1.6 bilion.

 

"OCR juga meletakkan sasaran untuk melancarkan projek Urban Living di Jalan Alor pada 2022. Dengan pembangunan seluas 0.33 ekar itu, hartanah tersebut akan merangkumi pembangunan 10 tingkat Small Office Home Office (SOHO) yang terdiri daripada 120 unit SOHO dan lapan lot premis runcit dan dijadualkan siap pada 2025," jelasnya dalam satu kenyataan hari ini.

 


Kumpulan berkenaan turut mencadangkan untuk mengambil alih 80% ekuiti dalam Stack Builder dan 100% kepentingan dalam Wonderland Projects dengan jumlah pertimbangan hingga RM62.4 juta.

 

Pengambilalihan itu akan dibayar melalui penerbitan 328.5 juta saham OCR, tanpa pembayaran tunai oleh kumpulan.

 

Cadangan pemerolehan Stack Builder dan Wonderland Projects adalah tertakluk kepada persetujuan pihak berautoriti dan pemegang saham yang akan diputuskan dalam Mesyuarat Agung Luar Biasa pada suku keempat 2021. - DagangNews.com