Offspring Sedania memperluaskan jejak Eropah | DagangNews Skip to main content

Offspring Sedania memperluaskan jejak Eropah

Pengasas dan Pengarah Urusan Sedania, Datuk Azrin Mohd Noor
 

 

KUALA LUMPUR 23 Ogos - Sedania Innovator Berhad melalui anak syarikatnya, Offspring Inc Sdn. Bhd. kini menjejaki 5 pasaran baharu, Belarus, Armenia, Kazakhstan, Kyrgyzstan dan Moldova sekali gus mengukuhkan kedudukannya di persada antarabangsa.

 

Ini berikutan pembukaan laman web Offspring yang telah dilancarkan di Rusia. Sedania memiliki 51% kepentingan dalam Offspring Inc., yang merupakan syarikat teknologi kesihatan dengan tumpuan kepada penyelesaian penjagaan kanak-kanak awal, antaranya menghasilkan produk bayi organik berkualiti tinggi.

 

Dengan kadar kelahiran tahunan dari 5 negara tersebut dianggarkan sebanyak 790,000 bayi yang baru lahir dan dijangka terus meningkat, Offspring dianggarkan menjana RM26 juta setahun hasil dari pasaran tersebut untuk tahun berikutnya. 

 

Pengasas dan Pengarah Urusan Sedania, Datuk Azrin Mohd Noor berkata, permintaan untuk produk premium berkualiti tinggi semakin meningkat di negara-negara jiran, dan Rusia telah mengambil langkah awal dalam menyampaikannya kepada pengguna.

 

"Ini bermakna Offspring telah membina kejayaannya yang tersendiri di pasaran melalui kualiti produk yang diiktiraf, sekali gus mengukuhkan kepercayaan di kalangan rakan kongsi antarabangsa dan pengguna," katanya dalam kenyataan hari ini.

 

Rusia merupakan salah satu rakan niaga utama Sedania yang mencatatkan pertumbuhan mantap lebih daripada 250% sejak 2019. 

 

Offspring Inc kini berada di 17 negara eksport dan 4 buah wilayah termasuk Amerika Utara, Afrika, Eropah, dan Asia.

 

Akaun media sosial seperti Instagram dan Facebook telah ditetapkan untuk setiap negara tersebut bagi memastikan pengguna mendapatkan maklumat yang tepat dan cepat mengenai produk terkini Offspring. 

 

Semua pembelian dari negara-negara ini termasuk Rusia dibuat melalui beberapa platform dalam talian
terkenal seperti wildberries.ru dan ozon.ru.

 

Kazakhstan juga merupakan salah sebuah negara yang berpotensi tinggi untuk Offspring. Pada 2020, negara terbesar di Asia Tengah ini mencatatkan kenaikan ketara dalam tahap pendapatan keseluruhan dengan pendapatan per kapita hampir kepada AS$27,000. 

 

Di samping itu, jumlah kadar kelahiran adalah yang tertinggi dalam kalangan 5 negara tersebut dengan jumlah hampir 420,000 bayi yang baru lahir, dan dianggarkan meningkat pada tahun-tahun akan datang. 

 

Menurut Azrin, permintaan untuk produk organik yang selamat untuk bayi baru lahir telah melonjak di
Kazakhstan. 

 

"Trend ini dijangka menarik lebih ramai ibu bapa untuk memilih produk selamat yang berkualiti tinggi untuk bayi mereka," katanya. 

 

Beliau berkata, dalam masa yang singkat pada 2021, Offspring telah menembusi pasaran ke 10 buah negara, dan angka ini akan terus meningkat. 

 

"Perancangan kami untuk pengembangan pasaran yang akan datang membolehkan kami terus memasuki pasaran utama baru bagi baki tahun ini, dan secara tidak langsung bakal meletakkan syarikat pada kedudukan strategik untuk 2022," tambahnya. - DagangNews.com