OldTown-MFA beri makanan percuma | DagangNews Skip to main content

OldTown-MFA beri makanan percuma

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
[email protected]

 

KUALA LUMPUR 19 Feb. - Bagi membantu mereka yang kurang berkemampuan dan terkesan akibat pandemik COVID-19, rangkaian restoran kopitiam halal terbesar Malaysia, OldTown Kopitiam dengan kerjasama Persatuan Francais Malaysia (MFA) mengadakan program Franchise CSR – Oldtown Meals Giveaway kepada golongan yang memerlukan.

 

Program pemberian makanan percuma itu melibatkan 20 restoran francais terpilih OldTown Kopitiam di tiga zon iaitu zon Utara, zon Selatan dan Lembah Klang.

 

Pengerusi Jawatankuasa Halal OldTown, Datuk Dr. Ahmed Tasir Lope Pihie berkata, pandemik COVID-19 bukan sahaja memberi impak yang besar kepada perniagaan bahkan ianya juga memberi kesan langsung kepada masyarakat apabila ada di antara mereka yang kehilangan sumber pendapatan.

 

“Lebih-lebih lagi apabila pihak kerajaan melaksanakan tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi membendung penularan wabak ini, banyak perubahan yang perlu diaplikasikan terutamanya ibu bapa yang perlu berbelanja lebih bagi menampung perbelanjaan kos sara hidup yang tinggi di pusat bandar.

 

“Walaupun kami juga turut terkesan dengan wabak pandemik ini, kami tetap prihatin terhadap nasib masyarakat di luar sana. Kami berharap dengan sedikit sumbangan seperti ini dapat membantu dan meringankan beban mereka yang berada di sekitar kawasan outlet kami," katanya lagi dalam satu kenyataan hari ini.

 

oldtown

 

Menurut beliau, pemberian makanan percuma berbentuk 50 bungkus makanan berat, roti sandwich dan air itu berlangsung pada 18 Februari sehingga 3 Mac ini di outlet OldTown terpilih di bandar-bandar utama termasuk Tesco Bagan Ajam, Penang; Bandar Sunway, Penang; Jelutong, Penang; Auto City, Penang; Jalan Genuang, Johor; Batu Pahat Mall, Johor; Lien Hoe, Johor; Taman University, Johor; Melaka Raya, Melaka; Pandamaran; Equine Park; Mines Mall; Taipan; Ikon Connaught; One City, USJ; Kuchai Lama; Pearl Point; Ampang Water Front; Metro Point, Kajang dan Jalan Kuching.

 

Sementara itu, pihak MFA menyambut baik sebarang bentuk kerjasama daripada ahli MFA dan penggiat industri francais bagi aktiviti kemasyarakatan.

 

MFA menyifatkan program Franchise CSR yang dianjurkan itu sebagai tanda keprihatinan MFA terhadap golongan yang terkesan akibat pandemik COVID-19 selain dapat mempromosikan jenama francais kepada orang ramai.

 

Menurut Pengerusi MFA, Datuk Dr. Radzali Hassan, persatuannya akan meneruskan inisiatif seumpama itu serta mengalu-alukan lebih banyak lagi penggiat francais daripada pelbagai sektor untuk turut serta dalam program Franchise CSR pada masa akan datang.  – DagangNews.com