KEMENTERIAN Kesihatan baru-baru ini mengumumkan peningkatan kes sebanyak 31% di seluruh negara dari 3 hingga 7 Julai 2022.
Walaupun hal ini sudah dijangka, setiap lonjakan kes perlu diambil perhatian serius kerana berpotensi menyebabkan peningkatan jumlah pesakit dan kematian.
Varian Omicron BA.5 dijangka menjadi varian penyebab gelombang baharu yang juga tengah dihadapi oleh beberapa negara di rantau Eropah dan Asia, termasuk negara jiran seperti Indonesia dan Singapura.
Varian ini lebih mudah merebak dibanding varian Omicron BA.1 dan BA.2 yang menyebabkan lonjakan kes di seluruh dunia pada awal tahun ini. Varian Omicron BA.5 juga lebih berpotensi menjangkiti semula bekas pesakit yang pernah dijangkiti varian sebelumnya.
Kebolehjangkitan semula varian Omicron BA.5 disebabkan kemampuan varian ini menghindar dari antibodi yang terhasil daripada jangkitan varian sebelumnya. Saintis juga memberi amaran varian ini mampu menghindar dari antibodi yang terhasil daripada vaksin.
Walaupun bilangan kes meningkat, tiada lonjakan kematian dilaporkan di negara-negara yang tengah berdepan gelombang varian Omicron BA.5. Kekebalan yang diperoleh daripada vaksinasi atau jangkitan semula jadi masih berkesan mengurangi risiko gejala teruk dan kematian.
Selain itu kita perlu memahami bahawa fenomena jangkitan semula adalah hal yang biasa dijumpai pada coronavirus. Contohnya varian Omicron BA.1 yang menjadi punca gelombang besar di awal tahun 2022 didapati menjangkiti semula bekas pesakit COVID-19 varian Beta dan Delta tetapi tidak menyebabkan lonjakan kematian.
Pandemik Flu Rusia 1889
Untuk memahami karakter jangkitan semula coronavirus, kita perlu melihat sejarah pandemik flu Rusia pada tahun 1889 yang berpunca daripada coronavirus jenis OC43. Pandemik flu Rusia menyebabkan empat gelombang kematian dari tahun 1889 hingga 1894.
Seramai satu juta nyawa terkorban terutamanya di Rusia, Amerika Syarikat, dan Eropah. Bilangan kematian menurun ketika majoriti telah terjangkiti dan memiliki kekebalan terhadap coronavirus OC43.
Selepas pandemik flu Rusia berakhir virus ini tidak lenyap. Coronavirus OC43 masih menyebabkan jangkitan semula dan lonjakan kes setiap tahun hingga sekarang. Tetapi gejalanya tidak teruk dan risiko kematian lebih rendah.
Pada masa ini coronavirus OC43 telah menjadi endemik dan gejalanya dikenali sebagai selsema.
COVID-19 dijangka akan mengikuti model endemik seperti coronavirus OC43. Bermakna kita akan terbiasa dengan jangkitan semula dan gelombang baharu dari masa ke semasa.
Yang penting ialah risiko gejala teruk dan kematian berkurangan seiring dengan bertambahnya kekebalan komuniti.
Dengan pencapaian peratusan vaksinasi lengkap 98 peratus dan dos penggalak 68 peratus pada penduduk dewasa, Malaysia diharapkan mampu mendepani gelombang baharu kali ini tanpa diikuti lonjakan drastik kemasukan pesakit ke hospital dan kematian.
Walau bagaimanapun, warga emas dan pesakit komorbid masih berdepan risiko kematian disebabkan tindak balas kekebalan mereka yang lemah.
Dos penggalak kedua masih perlu
Oleh sebab itu, dos penggalak kedua perlu diberikan kepada mereka yang memiliki kekebalan lemah disebabkan faktor umur dan penyakit yang mereka deritai.
Kawalan pergerakan tidak perlu dilaksanakan kembali. Tetapi kerajaan perlu mempertimbangkan untuk mewajibkan kembali pemakaian pelitup muka di tempat terbuka
sehingga lonjakan kes mereda.
Kebiasaan rakyat Malaysia yang menempatkan warga emas tinggal bersama anak dan cucu mendedahkan kumpulan rentan ini kepada jangkitan virus daripada ahli keluarga yang beraktiviti di luar rumah.
Pemakaian pelitup muka di tempat terbuka mengurangkan risiko ahli keluarga membawa virus dari luar rumah dan menjangkiti warga emas yang tinggal bersama.
Selain dos penggalak kedua dan pemakaian pelitup muka, bekalan ubat antivirus molnupiravir (Lagevrio) dan nirmatrelvir (Paxlovid) perlu ditingkatkan untuk merawat pesakit kumpulan rentan yang bergejala ringan.
Ketiga strategi tersebut bersifat jangka pendek untuk mendepani gelombang baharu pada masa ini.
Strategi hadapi gelombang selanjutnya
Kerajaan perlu memikirkan strategi jangka panjang mendepani gelombang-gelombang selanjutnya. Virus terus bermutasi dan varian baharu akan terus muncul.
Usaha pembuatan vaksin yang berkesan untuk kesemua varian perlu dimulakan. Vaksin pan-coronavirus yang memberi kekebalan terhadap semua varian boleh direka dengan mengambil kira jujukan kesemua virus dalam kumpulan coronavirus beta.
Vaksin semburan hidung (intranasal) pula menunjukkan keberkesanan pencegahan jangkitan lebih baik dibanding vaksin yang diberikan melalui suntikan. Institut Genom dan Vaksin Malaysia perlu diberi mandat untuk mengusahakan pembuatan vaksin COVID-19 baharu.
Usaha penemuan ubat antivirus juga perlu diperhebat. Malaysia tidak boleh hanya bergantung pada dua jenis ubat antivirus sedia ada yang diimport dari luar negara.
Kita perlu mengambil iktibar dari pandemik COVID-19.
Negara-negara maju pengeluar vaksin dan ubat mengutamakan kepentingan mereka sendiri sebelum membantu negaranegara miskin dan membangun.
Kemampuan untuk menghasilkan vaksin dan ubat sendiri adalah modal yang kukuh untuk mendepani cabaran gelombang baharu di masa hadapan. - DagangNews.com