Omicron: MPN akan adakan mesyuarat lebih kerap – Muhyiddin | DagangNews Skip to main content

Omicron: MPN akan adakan mesyuarat lebih kerap – Muhyiddin

Tan Sri Muhyiddin Yassin

KUALA LUMPUR 7 Feb - Majlis Pemulihan Negara (MPN) akan mengadakan mesyuarat lebih kerap selepas ini susulan cabaran gelombang Omicron yang sedang dihadapi negara dan jumlah jangkitan COVID-19 yang semakin meningkat.

 

Pengerusi MPN Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, MPN akan mengadakan mesyuarat esok dan hujung bulan ini bagi membincangkan langkah-langkah pemulihan negara. 

 

“MPN perlu pastikan negara mampu menghadapi proses pemulihan dengan sebaik mungkin dalam jangka masa yang tidak terlalu panjang,” katanya kepada pemberita selepas majlis penyerahan geran penyelidikan Program Pembangunan Dasar MASA (MPDP) di ibu negara, hari ini. 

 

Beliau berkata ekonomi negara kini dilihat semakin cergas dengan ramai sudah keluar bekerja dan hasil negara juga bertambah. 

 

“Bagaimanapun saya masih berpendapat usaha kita belum lagi berjaya sepenuhnya. Apa lagi dengan cabaran pandemik yang masih berterusan, varian Omicron dan data mutakhir yang meningkat lebih daripada biasa,” katanya. 

 

Malaysia mencatatkan trend peningkatan jangkitan harian COVID-19 sejak minggu lepas apabila kes positif mencecah lima angka sejak semalam dengan lebih 99 peratus merupakan kes kategori satu dan dua. - DagangNews.com