`Online' - terjemahan TEPAT ialah `dalam talian'. BUKAN `atas talian' | DagangNews Skip to main content

`Online' - terjemahan TEPAT ialah `dalam talian'. BUKAN `atas talian'

Pembaca DagangNews.com yang dihormati sekalian,

 

1. Seandainya anda ada keraguan terhadap istilah Bahasa Malaysia yang tepat, sila gunakan kamus dalam talian Dewan Bahasa dan Pustaka ini https://prpm.dbp.gov.my

 

2. Sebagai wadah berita, kami menerima teks berbahasa Malaysia yang kami dapat kesan sama ada penterjemah yang diupah itu `rajin atau malas'. Rajin bermaksud beliau rajin menelaah dan memeriksa kamus. Malas pula bila begitu banyak istilah digunakan ikut suka hati dia tulis.

 

3. Walaupun prinsip dan dinamik Bahasa Malaysia adalah terbuka kepada penyerapan bahasa asing tetapi kita hendaklah - pertama sekali dan terutamanya, haruslah mencari dan menggunakan istilah sedia ada bahasa Malaysia terlebih dahulu. Hanya bila sudah dicari di laut, gunung dan langit masih juga tidak kedapatan, baharulah guna istilah yang dicerap daripada bahasa asing.

 

4. Mencari jalan mudah memelayukan bahasa asing adalah kerja penterjemah pemalas. Perkataan seperti `emisi' adalah satu pencabulan bahasa Malaysia yang sangat menyedihkan. Terjemahan `emission' yang tepat adalah `pelepasan'. 

 

5. Menggantikan istilah yang diceduk daripada bahasa asing, tidak sama sekali menjadikan pengguna atau penuturnya kelihatan moden atau berbunyi pintar.

 

6. Begitu juga bila menggunakan prinsip `orang lain biasa pakai' seperti `atas talian' untuk terjemahan `online'. Itu salah. Istilah tepat ialah `dalam talian'. (Rujuk huraian DBP di sini)

 

7. Yang `biasa pakai' ialah kluster pemalas yang dijadikan rujukan oleh penterjemah pemalas sebagai alasan bahawa kerjanya itu betul dan kemas.

 

8. Portal berita DagangNews.com berdepan dengan cabaran setiap hari kerana istilah ekonomi tidak banyak di dalam perbendaharaan kosa kata Bahasa Malaysia tetapi setiap wartawan sentiasa diperingatkan supaya menggunakan kamus dalam talian DBP seperti di atas.

 

9. Kalau bukan kita menggunakan tata bahasa yang betul, hendak harapkan siapa lagi?

 

 

Sekian, terima kasih

 

Pengarang
DagangNews.com