OpenSys peroleh lapan pejabat bernilai RM10.5 juta bagi menyokong pertumbuhan perniagaan | DagangNews Skip to main content

OpenSys peroleh lapan pejabat bernilai RM10.5 juta bagi menyokong pertumbuhan perniagaan

KUALA LUMPUR 23 Ogos - OpenSys (M) Bhd memperoleh lapan buah pejabat di Pinnacle Petaling Jaya, Selangor, daripada JH Yong Holding Sdn Bhd, bernilai RM10.5 juta untuk menyokong perniagaannya yang semakin berkembang.

 

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, kumpulan itu berkata, pembelian itu adalah untuk memenuhi keperluan kakitangan tambahan, terutamanya mereka yang terlibat dalam operasi, pembangunan perisian dan peranan sokongan perkakasan.

 

Katanya, ia terletak di atas ibu pejabat syarikat semasa, yang akan memudahkan pergerakan kakitangan antara dua pejabat, memperkemas komunikasi dan proses membuat keputusan.

 

"Penyerahan milikan kosong dianggarkan selesai tiga bulan dari tarikh perjanjian jual beli (SPA)," kata OpenSys.

 

Ia juga menjelaskan bahawa RM5.5 juta daripada jumlah pemerolehan itu harus dibiayai oleh dana yang dijana secara dalaman dan baki RM5 juta melalui pinjaman bank.

 

Syarikat itu telah membayar 10% atau bersamaan RM1.05 juta, dengan baki harga belian RM9.45 juta akan dibayar dalam masa kira-kira tiga bulan.

 

"Syarikat menjangkakan bahawa nilai bungkusan akan meningkat pada masa hadapan dan mengukuhkan kedudukan kewangannya," tambahnya. - DagangNews.com