Operasi luas di pelbagai peringkat, MIDF Research positif terhadap prospek Dialog Group | DagangNews Skip to main content

Operasi luas di pelbagai peringkat, MIDF Research positif terhadap prospek Dialog Group

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 20 Feb - MIDF Research kekal positif terhadap prospek Dialog Group Bhd berdasarkan operasi huluan, petengahan dan hiliran yang luas diimbangi cabaran dalam pasaran minyak yang dijangka kekal mencabar bermula 2024 dan ke hadapan.

 

Katanya, walaupun harga minyak dijangka tidak menentu pada tahun ini, namun strategi kepelbagaian jangka panjang kumpulan dalam mengembangkan pembangunan serta pengeluaran medan minyak dijangka menyumbang kepada segmen huluannya.

 

Dengan perbelanjaan modal Petronas dijangka antara RM55 bilion hingga RM60 bilion antara 2024 hingga 2026, firma penyelidikan itu percaya usaha huluan kumpulan akan mendapat manfaat daripada peningkatan permintaan untuk perkhidmatan kejuruteraan dan pakar bagi membantu dalam projek pembangunan lapangan.

 

"Walapun pendapatan kumpulan bertambah baik pada 2QFY24, kumpulan itu masih terdedah kepada risiko luaran seperti turun naik harga minyak kesan daripada ketegangan geopilitik di Asia Barat, gangguan rantaian bekalan kesan pergerakan wang yang tidak menggalakkan dan ketidaktentuan ekonomi global," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Terdahulu, untung bersih kumpulan itu meningkat 16.62% kepada RM148.29 juta 2QFY24 berbanding RM127.15 juta setahun sebelumnya, hasil lebih tinggi didorong oleh prestasi yang lebih baik daripada operasi Malaysia dan antarabangsanya.

 

Hasil suku tahunan meningkat 7.8% kepada RM859.21 juta daripada RM797 juta pada 2QFY2023.

 

Bagi enam bulan pertama FY24, untung bersih kumpulan itu meningkat 10.88% kepada RM280.46 juta, daripada RM252.94 juta dalam tempoh yang sama FY23, apabila hasil meningkat 8.68% kepada RM1.64 bilion daripada RM1.51 bilion.
 

MIDF Research berkata, sebagai sebuah syarikat minyak dan gas bersepadu dengan kepelbagaian pada setiap bahagian, termasuk tenaga mampan dan hijau, Dialog mempunyai kelebihan berbanding pesaingnya.

 

Walau bagaimanapun, pendedahan kepada turun naik harga minyak, risiko geopolitik, tekanan inflasi ke atas bahan dan tenaga kerja, dan permintaan pengguna yang sentiasa berubah untuk produk mentah, petrokimia dan bahan api hijau, meletakkan kumpulan itu pada risiko ketidaktentuan pada 2024.

 

Firma penyelidikan itu berpendapat bahawa, dengan rancangan Dialog selanjutnya untuk mengembangkan ladang penyimpanannya dan menambah baik operasi kejuruteraan, perolehan, pembinaan dan pentauliahan (EPCC) , risiko mungkin dapat dikurangkan.

 

"Kami menjangkakan harga minyak mentah Brent berlegar antara AS$80 hingga AS$83 setong pada tahun ini dengan kenaikan harga melebihi purata AS$87 hingga AS$89 setong sekiranya ketegangan geopolitik meningkat di Asia Barat dan Eropah, serta peningkatan dalam aktiviti huluan bergerak ke hadapan, permintaan untuk penyimpanan sama ada petroleum mentah atau produk petroleum mungkin tinggi dalam masa terdekat," katanya.

 

MIDF Research mengekalkan saranan 'beli' dengan harga sasaran (TP) RM2.42 sesaham. - DagangNews.com