OPR diunjur kekal pada paras 3% sehingga akhir 2023 bagi menyokong ekonomi domestik - penganalisis | DagangNews Skip to main content

OPR diunjur kekal pada paras 3% sehingga akhir 2023 bagi menyokong ekonomi domestik - penganalisis

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 7 Julai - Kadar Dasar Semalaman (OPR) diunjur kekal pada paras 3% sepanjang tahun ini bagi menyokong ekonomi domestik selepas mengambil kira prospek luaran yang masih lemah.

 

Maybank Investment Bank (Maybank IB) berkata, Penyata Dasar Monetari (MPS) terbaru Bank Negara Malaysia (BNM) menyaksikan prospek pertumbuhan ekonomi global terjejas oleh inflasi teras yang berterusan dan kadar faedah yang lebih tinggi di peringkat global seperti yang diketengahkan sebelum ini.

 

Katanya, BNM melihat pemulihan China selepas pembukaan semula ekonomi perlahan dalam beberapa bulan kebelakangan ini berbanding jangkaan sebelum ini dan risiko penurunan kepada prospek ekonomi global kini termasuk ekonomi utama yang lebih perlahan.

 

"Pertumbuhan ekonomi domestik menjadi sederhana dalam beberapa bulan kebelakangan ini kerana eksport terkesan oleh permintaan luar yang lebih perlahan.

 

"Untuk baki tahun ini, ekonomi akan didorong oleh permintaan domestik yang berdaya tahan, kerana keadaan pasaran tenaga kerja yang menggalakkan terutamanya dalam sektor domestik yang menyokong perbelanjaan pengguna, ditambah dengan ketibaan pelancong," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

BACA JUGA: Tiada kenaikan, Bank Negara Malaysia kekal OPR pada paras 3%

 

Sementara itu, AmInvestment Bank Research (AmInvestment) berkata, dengan inflasi teras yang sederhana setakat ini disebabkan oleh aktiviti pengambilan tenaga kerja yang lebih perlahan dan kesan daripada kenaikan kadar terkumpul 125 mata asas, pihaknya tidak melihat sebarang keperluan mendesak untuk kadar faedah dinaikkan lebih tinggi.

 

Firma itu berkata, inflasi perkhidmatan juga berada pada arah aliran menurun kepada 3.9%.

 

"Oleh itu, OPR berkemungkinan kekal pada 3% untuk keseluruhan 2023.

 

"Inflasi teras semakin rendah, bermakna tiada keperluan mendesak untuk membuat sebarang perubahan kepada pendirian dasar semasa," katanya.

 

Firma itu berkata, mesyuarat dasar monetari seterusnya adalah pada 6 dan 7 September 2023, sebulan sebelum Belanjawan Tahunan Malaysia 2024, yang secara tentatif akandibentangkan pada 13 Oktober 2023 - DagangNews.com