OPR kekal 1.75% hingga 2021, ramal firma penyelidik | DagangNews Skip to main content

OPR kekal 1.75% hingga 2021, ramal firma penyelidik

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
[email protected]

 

KUALA LUMPUR 3 Nov. - “Bank Negara Malaysia (BNM) menekankan sekali lagi bahawa keputusan monetarinya sebagai wajar dan akomodatif, di mana kami melihat sebagai isyarat untuk tiada pemotongan kadar dasar semalaman (OPR) buat sementara ini,” ulas CGS-CIMB Research dalam nota kajiannya hari ini. 

Mesyuarat akhir Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) BNM pada tahun ini menetapkan untuk tidak menurunkan lagi OPR dan kekal pada paras 1.75%.

Ini berbeza dengan ramalan CGS-CIMB yang menjangkakan peningkatan semula kes COVID-19 dan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) 2.0 akan mempengaruhi BNM untuk menurunkan OPR sebanyak 25 mata asas (bps).

Baca : BNM kekalkan OPR 1.75% 

Sebaliknya, OPR dikekalkan berdasarkan ekonomi global yang terus menunjukkan pemulihan didorong penambahbaikan dalam aktiviti pembuatan dan eksport. 

“Sehubungan itu, kami menjangkakan OPR kekal 1.75% hingga penghujung 2021.

“Bebanan untuk menyediakan rangsangan ekonomi seterusnya terletak pada dasar fiskal, dengan perhatian pasaran tertumpu pada pembentangan Bajet 2021 menjelang 6 November ini yang dijangka terus berkembang,” tambah CGS-CIMB. 

Sebelum ini, CGS-CIMB meletakkan ramalan berkenaan berdasarkan tiga risiko iaitu peningkatan semula kes COVID-19, pelaksanaan semula PKPB di Selangor, Kuala Lumpur, Putrajaya dan Sabah serta ketidaktentuan situasi politik negara.

Ramalan OPR kekal hingga tahun hadapan oleh CGS-CIMB senada dengan MIDF Research yang melihat tiada keperluan untuk pemotongan OPR memandangkan dasar monetari setakat ini boleh menyokong ekonomi untuk pulih.

"Ini terutamanya berdasarkan Indeks Terkemuka yang menunjukkan pemulihan ekonomi bakal berterusan untuk tempoh beberapa bulan akan datang, seterusnya meningkatkan aktiviti ekonomi sehingga memasuki tahun 2021.

"Dalam pada itu, BNM mempunyai ruang yang cukup untuk mengurangkan OPR sekiranya pemulihan ekonomi berdepan cabaran atau perlahan pada masa hadapan," kata nota kajian MIDF.

Dalam kenyataan BNM hari ini, bank itu menjelaskan pemulihan ekonomi global kekal tidak menentu dalam tempoh masa terdekat. 

Baca : Potongan OPR: Apakah kesannya kepada anda? 

Kata BNM, prospek keseluruhannya masih bergantung kepada risiko penurunan terutamanya didorong oleh lonjakan semula jangkitan COVID-19 yang menyebabkan perniagaan, pengambilan pekerjaan dan keadaan pendapatan lebih lemah. 

Di Malaysia, indikator baru-baru ini menunjukkan aktiviti ekonomi bertambah baik dengan ketara memasuki suku ketiga. 

Namun, pelaksanaan semula sekatan bersasar untuk mengekang penularan COVID-19 di beberapa buah negeri mungkin menjejaskan momentum pemulihan pada suku keempat, kata BNM. - DagangNews.com