OPR mungkin kekal - Firma penyelidik | DagangNews Skip to main content

OPR mungkin kekal - Firma penyelidik

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
[email protected]

 

KUALA LUMPUR 19 Jan. - Kadar dasar semalaman (OPR) mungkin dikekalkan 1.75% setakat Januari 2021. 

 

Bagaimanapun, CGS-CIMB Research tidak menolak kemungkinan bahawa OPR diturunkan lagi sekiranya Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0 dilanjutkan untuk jangka masa panjang. 

 

“Pada pandangan kami, dengan pemberian sumber fiskal, Bank Negara Malaysia (BNM) mungkin mengambil pendekatan tunggu dan lihat menjelang mesyuarat Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) pada 20 Januari (esok).

 

“....mengekalkan pendirian dasar monetari semasa sambil memberi isyarat bahawa ia bersedia untuk menurunkan lagi sekiranya risiko terhadap pemulihan ekonomi semakin parah,” jelas CGS-CIMB dalam nota kajiannya hari ini. 

 

Namun, pemberian pakej bantuan tambahan, Perlindungan Ekonomi dan Rakyat Malaysia (Permai) yang diumumkan semalam memberikan bayangan bahawa PKP 2.0 akan dilanjutkan lagi. 

 

“Kami menjangkakan BNM akan kekalkan OPR pada kadar 1.75% pada Januari 2021. 

 

“Sekiranya PKP 2.0 dilanjutkan bagi tempoh jangka masa panjang, kami melihat terdapat kemungkinan bank pusat itu menurunkan OPR pada separuh kedua 2021 (1H21),” tambah CGS-CIMB lanjut. 

 

Baca : Siaplah....PKP mungkin lebih 2 minggu

 

Jelas firma penyelidik itu, pengumuman segera mengenai sokongan fiskal Permai memberikan beberapa pemulihan jangka pendek kepada isi rumah dan perniagaan yang terjejas, walaupun tidak sepenuhnya mengimbangi risiko penurunan terhadap prospek ekonomi.

 

Sebelum ini, CGS-CIMB menjangkakan setiap dua minggu PKP 2.0 akan ‘mengikis’ RM10 bilion atau 0.7%  daripada ramalan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) utama mereka sebanyak 7.5% pada tahun 2021, yang tidak merangkumi kesan PKP 2.0.

 

Baca : PKP 2.0 ‘kikis’ RM10 bilion daripada KDNK

 

Senada CGS-CIMB, Rakuten Trade Research dalam nota kajian pasaran sahamnya pagi ini turut mengunjurkan OPR kekal 1.75% menjelang mesyuarat BNM esok. 

 

“Secara peribadi, kami menjangkakan OPR akan dikekalkan kerana kesannya agak lemah ketika ini,” jelas Rakuten Trade.

 

Ramalan sama turut dilontarkan Standard Chartered Bank pada minggu lalu yang menjangkakan BNM akan tegas dengan pendiriannya. 

 

Baca : Standard Chartered unjur ringgit RM3.90, KDNK 7.5% pada 2021

 

“Kami sebelum ini telah meminta pemotongan awal (OPR) pada bulan November, sebahagiannya disebabkan oleh keadaan pandemik yang semakin teruk di dalam negara, namun BNM nampaknya enggan memotong lebih lanjut.

 

“....kedengaran yakin pada pemulihan pertumbuhan, walaupun jangkitan COVID-19 melonjak semula dan sekatan dilaksanakan. 

 

“Di samping itu, gabenor menyatakan bahawa pertumbuhan yang didorong oleh hutang mungkin tidak dapat dipertahankan dan fokusnya harus beralih kepada dasar struktur,” tambah Standard Chartered. 

 

Untuk rekod, BNM telah memotong OPR sebanyak empat kali pada tahun lalu ke paras terendah dalam sejarah. - DagangNews.com