Optimax catat kenaikan perolehan 54.59% kepada RM26.61 juta | DagangNews Skip to main content

Optimax catat kenaikan perolehan 54.59% kepada RM26.61 juta

Ketua Pegawai Eksekutif Optimax, Sandy Tan
Oleh JOHARDY IBRAHIM

KUALA LUMPUR 24 Feb – Optimax Holdings, pakar mata swasta terkemuka, mencatatkan perolehan sebanyak RM26.61 juta bagi suku keempat berakhir 31 Disember 2021 (Q4FY21), peningkatan sebanyak 54.59% daripada RM17.21 juta yang direkodkan pada suku sama tahun sebelumnya (Q4FY20).

 

Peningkatan perolehan itu menyokong keuntungan sebelum cukai (PBT) dan keuntungan selepas cukai (PAT), yang masing-masing meningkat 63.32% dan 78.19% kepada RM6.34 juta dan RM4.03 juta, berbanding RM 3.88 juta dan RM2.26 juta pada suku sama tahun sebelumnya.

 

Mengikut pecahan wilayah, operasi syarikat di Tengah Semenanjung Malaysia kekal sebagai penyumbang pendapatan terbesar kepada pendapatannya, iaitu RM15.99 juta atau 60.08% daripada jumlah pendapatan bagi Q4FY21.

 

Di Utara Semenanjung Malaysia dan Selatan Semenanjung Malaysia pula masing-masing menyumbang RM5.16 juta dan RM4.95 juta atau 19.40% dan 18.59% kepada jumlah pendapatannya, manakala Malaysia Timur menyumbang RM513,000 atau 1.93% daripada jumlah pendapatan syarikat.

 

Bagi tempoh 12 bulan berakhir 31 Disember 2021 (12MFY21), Optimax melaporkan pendapatan sebanyak RM88.90 juta, peningkatan sebanyak 53.22% daripada RM58.02 juta bagi tempoh dua belas bulan berakhir 31 Disember 2020 (12MFY20).

 

Kedua-dua PBT dan PAT untuk 12MFY21 masing-masing menunjukkan peningkatan ketara sebanyak 92.25% dan 104.29% atau RM18.59 juta dan RM13.10 juta, berbanding RM9.67 juta dan RM6.41 juta pada 12MFY20.

 

Ketua Pegawai Eksekutif Optimax, Sandy Tan berkata, pihaknya akan terus mencari peluang-peluang pada 2022 yang akan mengukuhkan prestasi kewangan syarikat pada masa hadapan.

 

Katanya, pembukaan semula sempadan negeri, pemulihan beransur-ansur aktiviti ekonomi dan pelaksanaan pemvaksinan yang cekap telah menyokong peningkatan bilangan pesakit, termasuk mereka yang telah menangguhkan pembedahan refraktif dan katarak mereka disebabkan oleh sekatan pergerakan.


 

optimax


Menurutnya, bilangan pesakit juga disokong oleh usaha berterusan syarikat untuk menawarkan promosi dalam talian, yang mencerminkan secara positif kepada pendapatan syarikat.

 

"Kami juga terlibat dalam melaksanakan proses vaksinasi dos penggalak COVID-19 menerusi penyertaan kami dalam Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) daripada suku kewangan terakhir lalu, yang seterusnya menyumbang secara positif kepada aliran pendapatan kami,” katanya dalam kenyataan di sini.

 

Pengumuman korporat oleh Optimax baru-baru ini termasuk menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan Selgate Healthcare Sdn Bhd pada akhir 2021 untuk mengurus dan mengendalikan pusat pakar perkhidmatan mata sepenuhnya di hospital yang ditetapkan oleh Selgate secara eksklusif manakala syarikat juga sedang mengubahsuai pusat jagaan ambulatori (ACC) di Bahau, Negeri Sembilan. 

 

Sehingga kini, Optimax juga sedang menubuhkan klinik satelit pertamanya di Sutera, Johor Bahru.

 

“Kami sedang mengembangkan jangkauan pasaran kami di Malaysia dan tidak menolak kemungkinan untuk berkembang ke Asia Tenggara pada masa depan. ‘’Kami juga percaya bahawa prospek Optimax adalah menggalakkan untuk tahun kewangan berakhir 31 Disember 2022,” katanya.

 

Pada 24 Februari 2022, Lembaga Pengarah Syarikat telah mengisytiharkan dividen interim kedua yang dikecualikan cukai sebanyak 1.90 sen sesaham biasa bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2021.

 

Tarikh kelayakan adalah pada 17 Mac 2022 dan pembayaran akan dibuat pada 26 Mac 2022. Jumlah dividen yang telah diisytiharkan setakat ini bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2021 ialah 3.80 sen sesaham biasa. – DagangNews.com