Optimis dengan prospek Coastal Contracts bagi FY23, RHB Research naikkan TP kepada RM2.40 sesaham  | DagangNews Skip to main content

Optimis dengan prospek Coastal Contracts bagi FY23, RHB Research naikkan TP kepada RM2.40 sesaham 

Oleh ZUNAIDAH ZAINON

KUALA LUMPUR 8 Sept - RHB Research menyemak naik harga sasaran (TP) Coastal Contracts Bhd. kepada RM2.40 daripada RM2.35 sebelum ini dengan mengekalkan saranan 'beli' berikutan prospek kumpulan yang positif. 

 

Malah, skor alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) juga dinaikkan kepada 3.0 daripada 2.9 sebelum ini selepas kumpulan mendedahkan pelan kemampanannya dengan sasaran untuk mencapai sifar karbon menjelang 2050.

 

Menurutnya, Coastal Contracts sedang memberi tumpuan kepada pelaburan ke dalam projek infrastruktur berkaitan pengeluaran, dengan keutamaan untuk gas asli - ia adalah sumber tenaga yang lebih bersih dengan pelepasan gas rumah hijau yang lebih rendah. 

 

"Kumpulan juga akan mewujudkan rancangan jangka sederhana hingga panjang untuk mempelbagaikan sektor tenaga boleh diperbaharui (RE)," katanya dalam nota kajian hari ini. 

 

Dalam taklimat bersama pengurusan pada Selasa, Coastal Contracts juga optimis untuk mendapat lanjutan kontrak bagi unit perkhimatan pemampatan gas jack-up (JUGSU) yang akan tamat pada Februari 2024. 

 

Kumpulan itu sedang berusaha untuk memperoleh lanjutan pertama sehingga tiga tahun dan kemungkinan lanjutan seterusnya antara lima hingga tujuh tahun dengan mengambil kira JUGCSU sebagai aset utama untuk proses pemulihan peningkatan minyak Pemex.

 

Kontrak untuk loji Perdiz juga dijangka dilanjutkan sekurang-kurangnya tiga tahun berikutan paras puncak pengeluaran gas yang diramalkan oleh medan Ixachi (kira-kira 1,100 juta kaki padu standard sehari-mmscfd) yang diunjurkan pada 2026 hingga 2028.

 

Sementara itu, kapal Teras Conquest 7 baru-baru ini memperoleh lanjutan untuk tempoh selama dua tahun dengan pilihan lanjutan tahunan dua tahun.

 

Menurut RHB Research, Coastal Contracts sedang membida bagi projek pemprosesan loji yang akan dianugerahkan pada suku keempat ini.

 

Katanya, bagi loji penyaman gas Ixachi yang ketiga, tender dipercayai dibuka pada akhir 2022 atau awal tahun hadapan.

 

"Selain itu, projek jangka panjang lain termasuk loji dehidrasi gas dan projek penyimpanan gas. Kami percaya terdapat peluang yang baik untuk syarikat usaha sama Coastal Contracts memenangi projek-projek ini, berdasarkan rekod prestasinya dengan Pemex," jelasnya.

 

Mengenai loji Papan, firma itu berkata, ia dijangka bermula pada suku kedua bagi tahun kewangan berakhir 30 Jun 2023 (FY23).

 

Setakat ini, katanya, keseluruhan pembinaan mencapai 83% (dengan infrastruktur utama kekal pada 74% manakala loji, 87%). 

 

"Apabila pentauliahan dan operasi loji Papan ini bermula, ia akan menyaksikan pertumbuhan pendapatan bagi FY23," katanya.

 

Setakat 12.16 tengah hari, harga sahamnya menokok 2 sen atau 1.06% kepada RM1.91 dengan 700,200 saham diniagakan. - DagangNews.com