Optimis prospek pertumbuhan, Affin Hwang mulakan liputan terhadap UMediC dengan saranan 'beli' | DagangNews Skip to main content

Optimis prospek pertumbuhan, Affin Hwang mulakan liputan terhadap UMediC dengan saranan 'beli'

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 7 Mac - Affin Hwang Investment Bank memulakan liputan terhadap UMediC Group Berhad dengan saranan 'beli' pada harga sasaran (TP) RM1.00 sesaham.

 

Firma itu berkata, saranan itu dibuat selepas mengambil kira potensi pertumbuhan pendapatan yang unggul dalam jangka masa terdekat.

 

Firma itu juga optimis terhadap prospek pertumbuhan kumpulan itu dalam segmen pembuatan dengan ruang pengeluaran mencukupi bagi memanfaatkan permintaan global yang kukuh

 

"Kami mengunjurkan pendapatan FY23/24/25 untuk berkembang sebanyak 26%/39%/22% dan menganggap anggaran FY25 kami berada di akhir konservatif dipacu kapasiti pembuatan meningkat dua kali ganda, pertumbuhan 10% tahunan dalam segmen pemasaran dan pengedaran.

 

"Kumpulan itu juga berpotensi menembusi pasaran Eropah berdasarkan peningkatan baru-baru ini dalam aktiviti pembuatan Malaysia disebabkan kelebihan kosnya.

 

"Kami mengambil isyarat dari Apex Healthcare yang menyaksikan peningkatan permintaan dan keuntungan untuk pembuatan kontrak peranti ortopedik untuk pelanggannya di Amerika Syarikat dan Eropah," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

BACA JUGA: UMediC catat untung bersih RM2.9 juta pada 2QFY23, didorong permintaan tinggi untuk peranti perubatan

 

Firma itu berkata, kumpulan itu merupakan pengedar peralatan perubatan dan bahan habis yang bereputasi, menawarkan peranti berjenama dan sokongan selepas jualan.

 

Kumpulan itu juga membangun dan mengkomersialkan produknya dan yang firma itu percaya ia akan menjadi pemacu pertumbuhan yang akan datang. - DagangNews.com