Orang ramai dijemput hadiri acara seni anjuran ArtsFAS bermula November hingga Disember 2022 | DagangNews Skip to main content

Orang ramai dijemput hadiri acara seni anjuran ArtsFAS bermula November hingga Disember 2022

Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 3 Nov - Yayasan Hasanah, sebuah yayasan berasaskan impak khazanah, menjemput semua lapisan masyarakat Malaysia untuk berhibur bersama Seni Sepanjang Musim (ArtsFAS), sebuah siri acara seni, budaya dan warisan yang menjanjikan pengalaman menghiburkan untuk semua. 

 

Awal tahun ini, Yayasan Hasanah mengumumkan bahawa ia menganugerahkan geran berjumlah RM3 juta kepada 26 pertubuhan seni, budaya dan warisan menerusi inisiatif geran tahunan ArtsFAS bagi merancakkan semula ekonomi kreatif. 

 

Kira-kira 1,000 penggiat seni, budaya dan warisan dijangka mendapat manfaat melalui program geran tahunan ArtsFAS yang diuruskan bersama dengan Kementerian Kewangan, sekaligus menyediakan lebih banyak peluang ekonomi sambil menghidangkan sebuah pengalaman seni dan budaya buat rakyat Malaysia.

 

Masih berlangsung sekarang sehingga akhir tahun ini, ArtsFAS 2022 menyokong lebih 50 persembahan, produksi teater, bengkel, pameran, webinar, persembahan berkumpulan dan acara lain, yang diadakan di Lembah Klang serta hampir semua negeri di Malaysia.

 

Antara Menarik di ArtsFAS 2022;

November

12 Nov 2022 | Dewan Semarak, Universiti Malaya, KL Bengkel Seni Budaya Punjabi - Pergendangan Alat Muzik Dhol, Seni Tarian Bhangra & Seni Tarian Giddha Oleh Dhol Alliance Entertainment

 

Memperkenalkan budaya Punjabi kepada golongan belia moden melalui bengkel permainan musik “Dhol”, dan tarian “Bhangra”, projek ini merupakan satu inisiatif Dhol Alliance untuk menarik minat dan mencungkil bakat belia dari pelbagai bangsa untuk mendalami muzik tradisional. Terdapat 3 persembahan yang akan dijalankan iaitu Pergendangan alat muzik dhol, Seni tarian bhangra, dan Seni tarian giddha. Setiap persembahan akan diberi masa selama 1 jam dimana 15 minit untuk persembahan dari kumpulan dan 45 minit lagi untuk bengkel setiap persembahan. 

 

16 Nov 2022 | The Temple of Fine Arts Malaysia (TOFA), KL Irama Rimba- Resounding Malaysian Music Oleh The Temple of Fine Arts Year End 2022 Productions

 

Projek ini bertujuan untuk mempamerkan 3 persembahan utama Listening to The Trees (Ankur), Nadopasana, dan Kadambari. Persembahan ini terdiri daripada persembahan muzik pelbagai lapisan dan budaya yang menampilkan bakat tempatan Malaysia.

 

 

hasanah

 

 

25 Nov – 4 Dis 2022 | Old Court House, Kuching, Sarawak Food over Fire Festival | Heirloom Showcase Oleh Whatmatters

 

Dalam acara HEIRLOOM SHOWCASE, perdiangan bersaiz penuh ke-2 akan dibina di Rumah Mahkamah Lama, sebuah lagi ruang awam yang bersejarah. Pada setiap malam, orang ramai akan dihiburkan dengan cerita rakyat, mitos dan legenda. Pameran langsung, bengkel, pameran kebudayaan, demonstrasi makanan pusaka, pasar malam seni & kraf menghidupkan tema tradisi dan pusaka. Di Auditorium, ayuh berhibur dengan tayangan filem pendek, filem warisan Sarawak, video lama Kuching serta persembahan kebudayaan daripada pelbagai institusi kreatif sama ada swasta mahupun awam.

 

2 - 4 Dis 2022 | Fort Margherita, Kuching, Sarawak The Hearth Brought to Light - Food over Fire Festival Oleh Whatmatters

 

Api perdiangan menjadi tempat keluarga berkumpul untuk menyanyi, menari, memasak dan berkongsi cerita dalam kehidupan seharian mereka dan juga semasa perayaan tradisional, kenduri dan ritual. Di Fort Margherita yang bersejarah sebagai ruang awam utama, The HEARTH Brought to Light ialah program yang merangkumi sejarah, tradisi, adat resam, kesenian dan warisan Sarawak. Pantomim selama satu jam dan persembahan seni edu pendidikan akan dipentaskan di sekitar perdiangan Kelabit hidup bersaiz penuh yang tulen dan yang telah dibina semula, dipanggil tetel. Selepas itu tetamu akan menikmati pengalaman FESTIVAL FOOD over FIRE (FoFF), yang pertama kali diadakan di Malaysia. FoFF mempamerkan amalan tradisional memasak di atas api dalam pelbagai bentuk.

 

 

hasanah

 

 

2 – 3 Dis 2022 @ Auditorium JKKN, Kedah Pementasan Bangsawan ‘Terung Pipit’ By Langgeng Bangsawan / Persatuan Bangsawan Warisan Jelapang

 

Bengkel dan pementasan Bangsawan Terung Pipit adalah untuk mendidik, mengembang, dan mengembalikan kegemilangan seni pementasan bangsawan khususnya bidang seni lakon bangsawan, seni tari, seni silat, dan yang berkaitan dengan seni pementasan bangsawan serta memupuk sikap mencintai seni warisan dan seni budaya Malaysia.

 

8 – 11 Dis 2022 | Stage 1 Theater, PJPAC, Selangor Drumhouse : Honouring a Cultural Heritage Oleh Hands Percussion

 

Muzik dan instrumen tradisional Teochew serta elemen opera Teochew (termasuk muzik, pakaian, solek dan vokal) bercerita dengan sentuhan yang sedikit berbeza, dengan nada metalik gamelan, bunyi timbre yang berbeza-beza dari gendang shigu sambil mengambil pengalaman Mak Yong dan Mek Mulung tradisional Kelantan Zamzuriah Zahari menjadi watak opera Teochew tradisional untuk mencetus keseimbangan yang sempurna untuk menceritakan kisah kami tentang kehidupan, kecekalan dan hiburan kami.

 

9 – 10 Dis | Pantai Chenang, Langkawi, Kedah Walimatulurus – An Immersive Theatrical Interpretation of One Of Langkawi’s Well-known Legends Oleh Projek Suatukala Sdn Bhd

 

 

hasanah

 

 

Walimatulurus ialah pengalaman teater imersif, di mana penonton menjadi sebahagian daripada persembahan. Berdasarkan legenda terkenal Langkawi Mat Chincang dan Mat Raya, persembahan itu bertujuan untuk mengimbas kembali tradisi perkahwinan Langkat lama di Sumatera yang menjadi asas kepada budaya perkahwinan Melayu hari ini dan menampilkan adaptasi moden Silat Bunga Kedah.

 

10 Dis 2022 | Auditorium Kompleks Penyiaran Sultan Kuantan, Pahang Konsert Gema Melayu Asli Oleh Persatuan Gelanggang Seni Warisan Negeri Pahang

 

Konsert Gema Melayu Asli membangkitkan populariti dan keunikan muzik dan lagu Melayu Asli, menerusi penampilan barisan 8 penyanyi, 7 pemuzik dan 10 penari di kalangan anak muda yang berbakat besar dari Pantai Timur serta menggabungkan 5 orang tokoh dari bidang Budaya, Bahasa, Muzik dan Lirik, Agama dan Penyiar yang akan memberikan impak segar di dalam konsert ini yang mengulas tentang intipati sebenar di dalam muzik dan lagu Melayu asli. 

 

16 Dis 2022 | Panggung Bandaraya DBKL, KL Rentak Bumi 2.0 - When Dance Videos Come Alive! By Duo Space Dance Theatre Sdn Bhd

 

Rentak Bumi meraikan seni tarian Pelbagai-Budaya yang merangkumi tarian kontemporari, tradisional dan moden, justeru mencerminkan kekayaan budaya Malaysia. Ia bakal dipentaskan secara langsung dengan mempamerkan warisan dan budaya Malaysia melalui seni persembahan untuk dinikmati oleh rakyat Malaysia. - DagangNews.com