Orgabio jangka raih RM29.97 juta daripada terbitan IPO | DagangNews Skip to main content

Orgabio jangka raih RM29.97 juta daripada terbitan IPO

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 15 Jun - Pengeluar minuman pracampuran segera, Orgabio Holdings Berhad merancang untuk mengumpul RM29.97 juta modal dijana daripada pelaksanaan tawaran awam permulaan (IPO) menerusi penyenaraianya di Pasaran ACE Bursa Malaysia pada 5 Julai 2022.

 

Dalam satu kenyataan, syarikat itu berkata, menerusi dana yang diraih itu sejumlah RM16 juta akan digunakan untuk membiayai pembinaan kilang baharu di Semenyih sebagai langkah pengembangan kapasiti pengeluaran mereka.

 

Timbalan Pengerusi Eksekutif Orgabio, Datuk Ean Yong Tin Sin berkata, peningkatan kapasiti akan membolehkan syarikat menerima lebih banyak pelanggan baharu serta pesanan yang lebih banyak dalam segmen jualan langsung dan membantu meluaskan rangkaian penawaran produk.

 

"Kami merancang untuk mengembangkan asas pelanggan dalam segmen jualan langsung dengan mendapatkan lebih banyak syarikat jualan langsung tempatan dan luar negara sebagai pelanggan kami, memandangkan syarikat jualan langsung mampu menyediakan kami dengan jumlah pembuatan yang tinggi yang seterusnya akan meningkatkan pertumbuhan prestasi kewangan kumpulan.

 

"Dengan melibatkan perkhidmatan pembuatan pracampuran minuman segera kami, syarikat jualan langsung boleh memanfaatkan pengalaman dan pandangan kami tentang pelbagai adunan, profil rasa dan pilihan yang khusus untuk pasaran mereka dengan melancarkan produk baharu di bawah jenama mereka," katanya.

 

Dalam empat tahun kewangan lalu, jualan kepada syarikat jualan langsung menyumbang antara 61.4% dan 80.6% kepada hasil kumpulan.

 

Sejumlah RM8.14 juta yang diraih menerusi terbitan IPO itu akan digunakan sebagai modal kerja, RM2.23 juta akan digunakan untuk membeli mesin baharu dan RM3.6 juta akan digunakan untuk tujuan penyenaraian.

 

Menerusi penyenaraian itu, Orgabio akan menerbitkan 96.7 juta saham baharu mewakili 39% daripada modal saham yang diperbesarkan pada harga terbitan 31 sen sesaham.

 

Daripada jumlah itu, 12.4 juta saham diperuntukkan kepada orang awam Malaysia melalui pengundian dan 6.2 juta saham untuk pengarah dan pekerjanya yang layak serta pihak yang telah menyumbang kepada kejayaan Kumpulan Orgabio.

 

Baki 78.1 juta saham pula untuk penempatan persendirian kepada pelabur Bumiputera terpilih yang diluluskan oleh Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) dan pelabur terpilih termasuk pelabur khusus. - DagangNews.com