Oriental Holding bina pusat perubatan di Segamat bernilai RM150 juta | DagangNews Skip to main content

Oriental Holding bina pusat perubatan di Segamat bernilai RM150 juta

KUALA LUMPUR 9 Sept - Oriental Holdings Berhad (OHB) mengembangkan segmen penjagaan kesihatannya menerusi pelaburan sebanyak RM150 juta bagi membina sebuah pusat perubatan di Bandar IOI Segamat yang dijangka dibuka pada 2026.

 

Pembinaan di kawasan seluas 1.81 hektar itu adalah hospital kedua OHB selepas Oriental Melaka Straits Medical Centre (OMSMC) di Klebang, Melaka. 

 

Pengarah Urusan OMSMC dan Oriental Medical Segamat, Dr. Tan Hui Ling berkata, pembangunan itu adalah antara langkah OHB untuk meluaskan lagi jangkauannya ke wilayah Johor Utara.

 

Menurutnya, Oriental Medical Segamat terletak dalam Presint Timur Bandar IOI Segamat yang juga lokasi strategik iaitu kira-kira 10 minit pemanduan dari pusat bandar serta menyediakan akses baik di sekitar Segamat yang mempunyai kira-kira 200,000 penduduk.

 

"Pusat perubatan tujuh tingkat ini berkapasiti 150 katil dan menawarkan pelbagai rawatan pakar perubatan dan pembedahan kepada komuniti Segamat dan kejiranan termasuk anestesiologi dan penjagaan kritikal, pembedahan am, obstetrik dan ginekologi serta pediatrik,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

 

Beliau berkata, Oriental Medical Segamat adalah  hospital subsidiari OMSMC  di Klebang, Melaka dan kedua-duanya berperanan sebagai hab perubatan yang menyediakan penjagaan kesihatan yang berpatutan serta berkualiti tinggi. - DagangNews.com