OYO Malaysia tawar perlindungan insurans secara percuma untuk tetamu hotel | DagangNews Skip to main content

OYO Malaysia tawar perlindungan insurans secara percuma untuk tetamu hotel

Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 15 Ogos - OYO Malaysia akan menawarkan perlindungan insurans percuma kepada semua tetamu yang menempah untuk menginap di mana-mana hotel mereka di seluruh negara mulai hari ini dan seterusnya. 

 

Insurans disertakan secara automatik tanpa caj tambahan kepada tetamu dengan setiap tempahan yang dibuat melalui aplikasi OYO, www.oyorooms.com atau Agensi Pelancongan Dalam Talian (OTA).

 

Dijamin oleh Chubb, salah satu syarikat insurans terbesar di dunia, menawarkan perlindungan seperti pampasan kematian akibat kemalangan dan hilang upaya kekal serta kemasukan ke hospital kecemasan.

 

Ia juga menawarkan perlindungan bagi kehilangan harta benda dan bagasi peribadi, kehilangan komputer riba serta faedah lain untuk setiap malam yang mereka habiskan di hotel rakan kongsi OYO.

 

Ketua Negara OYO Malaysia, Ming Luk Tan berkata, menyediakan pelan perlindungan insurans percuma untuk tetamu merupakan nilai tambah kepada pengalaman OYO di Malaysia.

 

“Penawaran perlindungan insurans percuma adalah bijak dan tepat pada masanya supaya tetamu boleh melancong dan menikmati penginapan mereka di Malaysia. 

 

"Insurans akan membolehkan kami menyampaikan lebih banyak kepada pelanggan kami dan memberikan ketenangan fikiran dan keselesaan kepada tetamu sementara mereka tinggal di rangkaian ruang kediaman berkualiti dan mampu milik kami di seluruh Malaysia," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

 

 

oyo
Ming Luk Tan

 

 

Menurut Ming, ketika industri hospitaliti berubah dan pulih daripada wabak, OYO terus berinovasi untuk menyampaikan lebih banyak kepada pelanggannya. 

 

"Semasa pandemik, OYO melancarkan Sanitized Stays, satu inisiatif yang bertujuan untuk memberikan pengalaman tetamu yang bebas kebimbangan dari daftar masuk hingga daftar keluar. 

 

"Memperluaskan insurans percuma kepada tetamu menambah satu lagi lapisan kepada komitmen itu,” katanya. - DagangNews.com