Pakej Cuti Penjawat Awam dan Pesara Kerajaan yang dipromosikan MOTAC jadi tarikan Jelajah AKM Kelantan | DagangNews Skip to main content

Pakej Cuti Penjawat Awam dan Pesara Kerajaan yang dipromosikan MOTAC jadi tarikan Jelajah AKM Kelantan

Timbalan Pengarah Tourism Malaysia Wilayah Timur, Mohd Azizul Arif Yahaya memberi penerangan tentang pakej percutian yang ditawarkan MOTAC untuk penjawat awam dan pesara kerajaan.
oleh HUSNA ABDULLAH

KOTA BHARU 23 Julai - Pakej Cuti Penjawat Awam dan Pesara Kerajaan yang dipromosikan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) melalui agensinya Tourism Malaysia sempena Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia edisi Kelantan berjaya menarik perhatian pengunjung.

 

Walaupun telah dilancarkan sejak Oktober tahun lepas, masih ramai penjawat awam dan pesara kerajaan tidak mengetahui promosi istimewa tersebut yang bertujuan merancakkan lagi industri pelancongan domestik.

 

Seorang penjawat awam dalam Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART), Mohd Nazri Abdul Wahab, 33, berkata, dia tertarik dengan promosi pakej itu kerana kadar penjimatan yang ditawarkan sangat berbaloi.

 

"Tak sangka pula selain pakej penginapan di hotel-hotel terpilih, penjawat awam dan pesara kerajaan juga boleh menikmati tawaran diskaun bagi harga tiket sehingga 30 peratus di sesetengah destinasi percutian.

 

"Saya difahamkan langkah ini bertujuan menyemarakkan semula industri pelancongan tempatan yang suram akibat pandemik COVID-19 pada tahun 2020 dan 2021.

 

"Sudah pasti, saya akan berbincang dengan rakan sekerja yang juga penjawat awam untuk pergi bercuti beramai-ramai dalam masa terdekat," katanya ketika ditemui DagangNews.com hari ini.

 

akm
Mohd Nazri Abdul Wahab

 

Antara produk pelancongan yang tersenarai dalam pakej istimewa tersebut ialah Putrajaya, I-City Shah Alam, Genting Highland, Sky Bridge KLCC, Sky Mirror Kuala Selangor, Taman Negara Endau Rompin, Taman Negara Mulu, Royal Belum, Kilim Geoforest Park, Danum Valley, Wakaf Che Yeh dan Taman Tamadun Islam.

 

Bagi seorang pesara kerajaan, Che Wan Mohamad Che Wan, 70, kunjungannya ke reruai MOTAC dirasakan amat bertuah kerana dapat mengetahui promosi pakej percutian itu dengan lebih mendalam serta penerangan terperinci dari pegawai yang bertugas.

 

"Saya datang ke sini bersama anak dan cucu. Jadi, saya minta tolong anak yang scan (mengimbas kod QR) untuk mendapatkan maklumat mengenai pakej dan lokasi percutian yang ditawarkan MOTAC.

 

akm
 Che Wan Mohamad Che Wan

 

"Adat orang yang sudah pencen, memang banyak makan angin ke sana sini mengikut anak-anak. Alhamdulillah moga ada pakej percutian yang sesuai untuk kami sekeluarga nanti," katanya yang berkhidmat sebagai guru sebelum ini.

 

Sementara itu, Timbalan Pengarah Tourism Malaysia Wilayah Timur, Mohd Azizul Arif Yahaya berkata pihaknya giat mempromosikan pakej tersebut kepada pengunjung Jelajah AKM yang bertempat di Stadium Sultan Muhammad IV sejak semalam.

 

"Ramai yang teruja dengan pakej ini dan mengakui berminat untuk memanfaatkannya dengan pergi bercuti bersama keluarga dan sahabat handai. 

 

"Ini antara fokus utama kita di reruai MOTAC selain menasihatkan orang ramai untuk sentiasa menyemak dahulu kesahihan pakej percutian, pengusaha inap desa dan pemandu pelancong yang dipilih agar mereka semua berdaftar secara sah bagi memastikan orang ramai dapat menikmati percutian yang menyeronokkan tanpa sebarang kejadian tidak diingini.

 

"Bagi yang tidak berkelapangan untuk hadir ke Jelajah AKM Kelantan pula, mereka boleh mengetahui maklumat berkenaan pakej-pakej yang ditawarkan  dengan melayari laman web Tourism Malaysia di https://deals.malaysia.travel/deals," katanya. - DagangNews.com