Pakej rangsangan : Lebih RM500 bilion disalurkan kepada rakyat  | DagangNews Skip to main content

Pakej rangsangan : Lebih RM500 bilion disalurkan kepada rakyat 

Gambar hiasan

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
[email protected]

 

KUALA LUMPUR 29 Jun - Secara keseluruhannya, kerajaan telah menyalurkan sehingga RM530 bilion kepada rakyat menerusi pelaksanaan lapan pakej rangsangan, sejak Mac 2020. 

 

Angka itu merangkumi 37.5% daripada KDNK dengan suntikan fiskal langsung berjumlah kira-kira RM83 bilion atau 5.9% daripada KDNK, menurut Maybank Investment Bank Research (Maybank IB). 

 

Di bawah pakej rangsangan terbaharu iaitu Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (Pemulih), Maybank IB mendapati suntikan langsung fiskal bernilai RM10 bilion dan baki Dana COVID-19 secara kebetulan menyaksikan jumlah yang sama.

 

Maybank IB
JUMLAH pakej rangsangan yang telah disalurkan sejak tahun lepas. - Sumber : Maybank IB

 

“Menariknya, RM10 bilion suntikan langsung fiskal dalam Pemulih sama dengan baki daripada Dana COVID-19 berjumlah RM65 bilion selepas sebanyak RM38 bilion telah dibelanjakan pada 2020 dan RM17 bilion diperuntukkan di bawah Belanjawan 2021. 

 

“Dalam unjuran defisit atau Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) 2021 kami telah mengambil kira andaian penggunaan baki RM10 bilion ini,” jelas firma itu dalam satu nota kajian. 

 

Lewat petang semalam, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan pelaksanaan Pemulih bernilai RM150 bilion.

 

Pemulih bertujuan memberikan bantuan menyeluruh kepada rakyat dan tertumpu kepada tiga fokus utama iaitu Meneruskan Agenda Prihatin Rakyat, Menyokong Perniagaan dan Meningkatkan Vaksinasi.

 

Antara bantuan utama yang diperkenalkan semula adalah pemberian moratorium menyeluruh selama enam bulan dan pengeluaran dana Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) menerusi i-Citra. 

 

Dalam pada itu, Maybank IB menjangkakan subsidi bahan bakar dan minyak masak di bawah pakej rangsangan sama mungkin dibiayai oleh hasil minyak, gas dan minyak sawit mentah (MSM) yang lebih tinggi susulan lonjakan harga komoditi itu. - DagangNews.com