Pakej umrah kini boleh ditempah di Maybank2u | DagangNews Skip to main content

Pakej umrah kini boleh ditempah di Maybank2u

 

 


KUALA LUMPUR 19 Nov - Maybank Islamic Bhd. kini menyediakan platform tempahan pakej umrah yang lebih lancar dan mudah melalui laman perbankan dalam talian Maybank2u kepada pelanggannya yang merancang untuk menunaikan umrah.

 

Berkuat kuasa hari ini, pelanggan kad kredit Premium Maybank dan Maybank Islamic boleh menyesuaikan urusan perjalanan umrah dengan memilih tarikh perjalanan, penerbangan dan tempat penginapan mengikut pilihan mereka dan tidak terhad kepada pakej tetap agensi pelancongan.

 

Tawaran pakej Premium yang unik ini diwujudkan melalui kerjasama Maybank Islamic dengan agensi pelancongan Rayhar Travels Sdn. Bhd., yang merupakan syarikat pengendali haji dan umrah dengan jumlah jemaah persendirian tertinggi serta terkenal di Malaysia.

 

maybank islamic
Ahmad Shareza Abdul Rahman

 

 

Ketua Pengurusan Kekayaan Patuh Syariah & Pembangunan Perniagaan Maybank Islamic, Ahmad Shareza Abdul Rahman berkata, melalui platform dalam talian Rayhar, pelanggan boleh menyesuaikan keperluan pakej umrah mengikut keutamaan bakal jemaah.

 

Selain itu, katanya, pelanggan boleh menebus Treats Points Maybank untuk membiayai sebahagian atau sepenuhnya kos perjalanan umrah.

 

“Dengan keistimewaaan eksklusif ini, kami berharap tawaran pakej Premium kami bersama Rayhar Travels ini akan memenuhi keperluan para pelanggan yang mungkin lebih mementingkan fleksibiliti dan pengalaman umrah  mengikut pilihan masing-masing," katanya dalam kenyataan hari ini.

 

Proses penempahan pakej umrah di Maybank2u akan dipautkan terus ke platform dalam talian Rayhar Travels yang telah direka khusus untuk pelanggan bank tersebut.

 

Sejak 18 Oktober lalu, kerajaan Malaysia telah melonggarkan sekatan perjalanan antarabangsa untuk rakyat Malaysia dan negara Arab Saudi merupakan salah satu destinasi antarabangsa yang paling digemari pengembara muslim. - DagangNews.com