Pameran perdagangan Malaysia-China 1-4 Ogos teroka peluang tarik pelaburan negara Tembok Besar ke Perak | DagangNews Skip to main content

Pameran perdagangan Malaysia-China 1-4 Ogos teroka peluang tarik pelaburan negara Tembok Besar ke Perak

Pameran perdagangan Malaysia-China di Ipoh pada Ogos nanti peluang terbaik usawahan tempatan meneroka kerjasama. - Gambar hiasan
Oleh Zaki Salleh

IPOH 22 Julai - Potensi negeri Perak sebagai destinasi pelaburan pilihan kepada pelabur China diketengahkan pada Pameran Perdagangan Francais dan Pelesenan, Perdagangan Digital, AI dan Produk Pengguna.

 

Pameran yang akan berlangsung pada 1 hingga 4 Ogos 2024 di Stadium Indera Mulia di sini adalah anjuran Dewan Perdagangan Malaysia-China (MCCC) Cawangan Perak dengan kerjasama Majlis Bandaraya Ipoh.

 

Ini merupakan pameran perdagangan terbesar bertaraf antarabangsa yang pernah diadakan di Bandaraya Ipoh.

 

Ia juga sempena meraikan ulang tahun ke-50 hubungan diplomatik antara Malaysia dan China.

 

Kapal
Weng Keong (barisan depan tiga dari kanan) bersama ahli-ahli DPMC Perak.

 

Yang Dipertua DPMC Cawangan Perak, Lai Weng Keong berkata, pameran tersebut melibatkan 100 ruang pameran dengan penyertaan 50 buah syarikat China dan negara jiran Thailand selain usawahan tempatan.

 

Menurut beliau, pameran ini merangkumi francais, kecerdasan buatan (AI), ekonomi digital serta pameran pelbagai barangan pengguna.

 

“Kita tidak meletakkan sasaran spesifik berapa nilai pelaburan yang ingin dibawa masuk ke Perak, sebaliknya pameran ini sebagai platform ke arah itu.

 

“Menerusi pameran ini, kita mahu usahawan tempatan mengambil peluang memperluaskan aliran perdagangan dan transaksi dengan negara China, meningkatkan kualiti produk serta melatih bakat tempatan. 

 

“Kita berharap dapat menarik usahawan dari China dan negara-negara jiran untuk melabur dan membuka kilang di sini, menggalakkan aktiviti ekonomi di negeri Perak dan memberi manfaat kepada penduduknya.

 

Kapal
Aktiviti ekonomi digital menyaksikan AI mula mendominasi urusan perdagangan.

 

“Ini kerana ekonomi adalah pendorong kemajuan negara dan juga nadi kehidupan rakyat.,” ujarnya kepada Dagang News.

 

Pameran ini juga melibatkan kerjasama dengan DPMC cawangan tiga negeri iaitu Pulau Pinang, Kedah dan Perlis.

 

Jelas Weng Keong, dengan era digital yang mana teknologi AI mendominasi urusan perdagangan, maka usawahan tempatan perlu untuk sama-sama mengikuti trend ekonomi moden ini yang semakin berkembang.

 

Katanya, aktiviti ekonomi kini telah menjadi digital.

 

“Menerusi pameran ini kita telah mempelawa penyedia teknologi AI dari China mempamerkan kepakaran dalam perdagangan digital dan keupayaan Al.

 

Kapal

 

“Model ekonomi baharu ini telah mengubah gaya hidup dan kaedah pengeluaran kita.

 

“Para usahawan dan pengunjung dapat melihat kemajuan teknologi dan konsep perniagaan digital baru. Ini adalah peluang terbaik yang jarang-jarang dapat diperolehi,” ujarnya. - DagangNews.com