Pantech Global rancang kembangkan perniagaan, bangunkan gudang di Johor  | DagangNews Skip to main content

Pantech Global rancang kembangkan perniagaan, bangunkan gudang di Johor 

Oleh SYAZA NORAZHARUDDIN

KUALA LUMPUR 17 Sept - Pantech Global Bhd merancang untuk mengembangkan perniagaannya dengan membina dua lagi kilang dan membangunkan sebuah gudang di Johor.

 

Pantech Global adalah syarikat induk kepada dua anak syarikat Pantech Group Holdings Bhd yang tersenarai di Pasaran Utama.

 

Menurut draf prospektus Pantech Global yang difailkan dengan Suruhanjaya Sekuriti (SC), cadangan tawaran awam permulaan (IPO) di Pasaran Utama bursa saham itu, terdiri daripada 262.23 juta saham baharu pada harga yang akan ditentukan kemudian.

 

Ia terutamanya memberi perkhidmatan kepada pelanggan di Amerika Syarikat, Malaysia, Taiwan, Indonesia, Kanada dan Eropah, yang secara kolektif mewakili 93.80% daripada jumlah hasilnya pada tahun kewangan berakhir 2024 (FY2024).

 

Pantech berkata, dua produk utamannya termasuk kelengkapan paip kimpalan punggung dan paip dikimpal keluli tahan karat. 

 

“Ini memberikan kami kepelbagaian dalam menangani peluang dalam industri pengguna yang berbeza dan aplikasi produk untuk mengembangkan perniagaan kami.

 

"Bagi menampung pengembangan kami dalam operasi perniagaan, kami berhasrat untuk menubuhkan ibu pejabat korporat dan kilang baharu di Klang, Selangor (Klang 2) menjelang 2027. 

 

Kilang Klang 2 dianggarkan mempunyai keluasan tanah kira-kira 10 hingga 12 hektar yang akan menempatkan ibu pejabat korporat baharu kami, kawasan pengeluaran, gudang dan satu blok asrama bagi 150 pekerja," ujar syarikat itu.

 

Syarikat itu mempunyai dua anak syarikat milik penuh, Pantech Stainless & Alloy Industries Sdn Bhd (PSA) dan Pantech Steel Industries Sdn Bhd (PSI).

 

Pengerusi Eksekutif Syarikat dan Pengarah Urusan Kumpulan (MD), Datuk Chew Ting Leng memegang 11.17 juta atau 1.34% saham langsung dalam syarikat itu dan 143.79 juta atau 17.28% saham tidak langsung.

 

Timbalan MD Kumpulan itu, Datuk Goh Teoh Kea mempunyai 8.33 juta atau 1.0% kepentingan langsung dan 102.27 juta atau 12.29% kepentingan dalam Pantech.- DagangNews.com