Paragon Globe ambil alih tanah Besview berharga RM16.54 juta di Johor Bahru | DagangNews Skip to main content

Paragon Globe ambil alih tanah Besview berharga RM16.54 juta di Johor Bahru

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 3 Nov - Paragon Globe Berhad menerusi PGB Iconic Sdn. Bhd. hari memeterai perjanjian jual beli (SPA) bersama Besview Holdings Sdn. Bhd. bagi mengambil alih tanah pegangan bebas seluas 57,028 kaki persegi berharga RM16.54 juta di Johor Bahru.

 

Kumpulan itu dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia berkata, pengambilalihan itu memberi peluang bagi mengumpul tanah strategik bagi tujuan pelaburan.

 

Pemerolehan itu adalah selaras dengan objektif kumpulan untuk mencipta nilai ekonomi yang lebih besar dan meningkatkan lagi kehadirannya dalam pasaran hartanah di Johor.

 

"Tanah itu terletak secara strategik di tengah-tengah Johor Bahru dan dikelilingi oleh pelbagai jenis hartanah kediaman.

 

"Lembaga Pengarah kini sedang dalam proses memuktamadkan rancangan pembangunan untuk tanah tersebut dan berpandangan bahawa pengambilalihan itu akan menyumbang kepada pertumbuhan yang berterusan.

 

"Pengambilalihan tanah itu dijangka meningkatkan aliran hasil masa hadapan dan memberi sumbangan positif kepada pendapatan masa depan kumpulan," katanya.

 

Tanah tersebut terletak di bawah bidang kuasa Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) dan mempunyai akses ke jalan utama Jalan Inderaputra, Kampung Stulang.

 

Cadangan pengambilalihan itu dijangka dibiayai melalui gabungan dana yang dijana secara dalaman, pinjaman bank dan/atau penjanaan dana ekuiti.

 

Pengambilalihan itu dijangka tidak mempunyai sebarang kesan material ke atas pendapatan Paragon Globe bagi tahun kewangan berakhir 31 Mac 2023 dan tahun kewangan berakhir 31 Mac 2024 masing-masing tetapi dijangka menyumbang secara positif kepada pendapatan masa depan. - DagangNews.com