Paragon Globe jual tanah di Johor yang dibelinya tahun lepas kepada syarikat pusat data pada harga RM98.98 juta | DagangNews Skip to main content

Paragon Globe jual tanah di Johor yang dibelinya tahun lepas kepada syarikat pusat data pada harga RM98.98 juta

KUALA LUMPUR 5 Ogos -  Paragon Globe Bhd menjual tanah pegangan bebas yang baru dibelinya di Plentong, Johor Bahru, kepada Bridge Data Centers Malaysia IV Sdn Bhd.

 

Pada bulan Mei, syarikat itu menandatangani perjanjian untuk menjual sebahagian daripada tanah seluas 104.5 hektar,  kira-kira saiz 104 padang bola sepak yang telah dibeli dengan harga RM71.5 juta oleh Bridge Data Centers pada November 2023.

 

Paragon Globe berkata,  perjanjian itu berkaitan dengan penjualan secara tunai atas 47.86 hektar plot di bawah geran 80943 Lot 2699 dengan harga RM238.32 juta, bagi meningkatkan kecairan dan kedudukan kewangannya.

 

Dalam pemfailan bursa pada Jumaat, syarikat itu berkata, ia menjual lagi 19.759 hektar tanah dipegangnya di bawah geran 80943 Lot 2699 kepada Bridge Data, dengan harga RM98.98 juta.

 

Paragon Globe berkata, syarikat milik penuhnya Paragon Business Hub Sdn Bhd (PBHSB) telah menandatangani perjanjian jual beli bersyarat dengan Bridge Data bagi penyediaan infrastruktur untuk pengehosan, perkhidmatan pemprosesan data dan aktiviti berkaitan.

 

Menurut Paragon Globe, harga jualan tanah RM98.98 juta itu mewakili diskaun 6.89% daripada nilai pasaran plot sebanyak RM106.3 juta, seperti yang dikira oleh penilai bebas CBRE WTW Valuation & Advisory Sdn Bhd.

 

Penjualan itu tertakluk kepada PBHSB mendapatkan pengesahan bertulis daripada Bahagian Pembangunan Ekuiti dalam Kementerian Ekonomi yang menyatakan Bridge Data tidak memerlukan kelulusan daripada EPU untuk pelupusan tanah dan diberi kelulusan untuk membeli plot itu. 

 

Pelupusan terbaharu itu, menurut perjanjian terdahulu bersama Bridge Data, juga memerlukan kelulusan daripada pemegang saham PBHSB.

 

Daripada jumlah hasil terkumpul RM337.3 juta daripada kedua-dua pelupusan itu, Paragon bercadang untuk membelanjakan RM112.16 juta dalam pembangunan plot untuk membina jalan dan infrastruktur di atasnya, seperti yang dipersetujui di bawah perjanjian pelupusan.

 

Selain itu, ia juga merancang untuk menggunakan RM57 juta untuk membayar balik pinjaman, RM92.7 juta untuk membeli plot lain, RM38 juta untuk membiayai projek yang sedang dijalankan dan RM36.9 juta sebagai modal kerja.

 

Paragon Globe turut berkata, anggaran keuntungan pro forma bersih daripada pelupusan yang dicadangkan ialah RM112.9 juta.

 

Pada awal minggu lepas, Paragon Globe mengumumkan bahawa ia telah memperoleh dua bidang tanah pegangan bebas di Plentong dengan harga tunai RM34.96 juta, seluas 11.09 dan 8.24 hektar, daripada EKL Holdings Sdn Bhd. 

 

Sebelum itu, Paragon Globe menandatangani perjanjian pada Mei dan Jun untuk memperoleh dua lagi plot Plentong, satu berkeluasan 9.84 hektar dengan harga RM13.5 juta, dan satu lagi berkeluasan 14.85 hektar dengan harga RM28.56 juta.

 

Menurut Paragon Globe, semua plot yang dibeli dan dijual itu adalah bersambung antara satu sama lain.

 

Paragon Globe dikawal oleh Pengerusi Eksekutif, Datuk Seri Edwin Tan Pei Seng dan abangnya Datuk Seri Godwin Tan Pei Poh.

 

Kedua-duanya memegang 51.8% pegangan dalam Paragon Globe melalui kenderaan persendirian mereka Paragon Adventure Sdn Bhd.

 

Ahli perniagaan Tan Sri Robert Tan Hua Choon juga memegang 9.82% kepentingan dalam Paragon Globe. 

 

Tan juga dikenali sebagai "Casio King," kerana beliau merupakan pengedar pertama jam tangan dan kalkulator jenama  itu di Malaysia.

 

Tertakluk kepada kelulusan yang diperlukan, cadangan pelupusan terbaru itu dijangka siap menjelang suku ketiga 2025- DagangNews.com