Parti politik digesa bersatu demi rakyat berdepan dengan COVID-19 | DagangNews Skip to main content

Parti politik digesa bersatu demi rakyat berdepan dengan COVID-19

Photo by <a href="https://unsplash.com/@mufidpwt?utm_source=unsplash&utm_medium=referral&utm_content=creditCopyText">Mufid Majnun</a> on <a href="https://unsplash.com/s/photos/covid-19?utm_source=unsplash&utm_medium=referral&utm_content=creditCopyText">Unsplash</a>
PESAKIT COVID-19 menerima rawatan. Gambar hiasan oleh Mufid Majnun 

 

 

KUALA LUMPUR 14 Ogos – Rangka Persefahaman yang diumumkan oleh Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin perlu dilihat secara positif oleh semua pihak termasuk parti-parti politik tanpa beremosi.

 

Ia dilihat sebagai seruan ‘balancing strategies’ untuk blok pembangkang bekerjasama dengan kerajaan Perikatan Nasional buat ketika ini untuk Malaysia keluar daripada pandemik COVID-19 dan bagi pembukaan semula sektor-sektor ekonomi.

 

Seruan ini tidak boleh diperlekehkan mahu pun terlepas pandang atau tidak diterima disebabkan tekanan daripada pucuk pimpinan dan prinsip kepartian kerana fokus utama pada waktu ini ialah untuk negara mengakhiri pandemik COVID-19.

 

Penganalisis Politik & Media Sosial, Prof Madya Dr. Sara Chinnasamy berkata, secara jelas telah dimaklumkan bahawa pilihan raya akan diadakan selewat-lewatnya pada Julai 2022 tahun hadapan.

 

‘’Maka kita harus bersabar dan kurangkan tekanan politik, sebaliknya fokus terhadap pandemik COVID-19. Ruang sudah pun dibuka untuk mencari persefahaman membantu kerajaan di dalam krisis ini. Persoalannya sejauh manakah parti-parti politik pembangkang komited di dalam hal ini?,’’ kata beliau.

 

Menurutnya lagi, tekanan politik ini tidak akan berkesudahan dan sudah pasti akan berpanjangan.

 

‘’Adakah wajar untuk kita mengadakan pilihan raya pada waktu pandemik ini? Sudah kita lihat kesannya membuat Pilihan Raya di waktu pandemik di negara-negara seperti India, Amerika Syarikat dan Poland. Banyak kes jangkitan melampaui jangkaan dan kawalan selepas pilihan raya berkenaan.


 

 Prof Madya Dr. Sara Chinnasamy
Prof Madya Dr. Sara Chinnasamy

 


‘’Tidak ada gunanya mendesak kerajaan yang sedia ada dengan pelbagai tekanan politik kerana yang ruginya adalah rakyat sendiri kerana kita berdepan dengan pandemik yang amat berbahaya.

 

‘’Kita mahukan kesihatan rakyat yang diutamakan di sini dan bukannya hal-hal politik yang lagi meresahkan keadaan sekarang. Sekiranya ahli-ahli politik dan parti-parti politik memikirkan nasib rakyat, sudah pasti semua parti politik akan mengembleng tenaga untuk menyelesaikan pandemik ini’.

 

‘‘Rata-rata dari awal kita sudah melihat, tahap komitmen dan sokongan parti-parti politik amat rendah dari segi sokongan bantuan terhadap program vaksinasi di kawasan masing-masing dan status perlaksanaan pelan pemulihan negara di kawasan daerah-daerah dan negeri-negeri masing-masing mahupun bantuan mobiliti sukarelawan mengikut parti masing-masing,’’ ujarnya.

 

Dr Sara berkata, pengiktirafan yang diberikan kepada ketua pembangkang juga perlu dilihat secara terbuka dan proaktif oleh ketua-ketua pembangkang.

 

‘’Ketepikan agenda politik masing-masing buat sementara waktu sebaliknya dilihat sebagai unsur ‘check and balance’ iaitu peluang untuk semak dan imbang yang lebih efektif dan menyeluruh tidak kira aspek pandemik COVID 19 mahupun ekonomi. Maka sudah tentu, soal-soal yang berkaitan ketelusan dan integriti tidak akan dipertikaikan di sini sekiranya semua pihak berasa komited,’’ katanya.

 

Maka itu kata beliau, sikap keterbukaan semua parti politik amat penting di sini dan bukannya masa untuk menuding jari sesama sendiri.

 

‘’Kestabilan politik adalah amat penting dalam kita memerangi pandemik COVID-19 dan memulihkan negara. Maka, rangka persefahaman rentas parti memerlukan sokongan, usaha dan tumpuan semua pihak yang untuk memulih dan mengembalikan negara kepada landasan pembangunan dan pertumbuhan yang sihat,’’ katanya.

 

Dr Sara turut menambah bahawa tekanan politik ini harus dititiknoktahkan agar usaha untuk memulihkan krisis kesihatan dan ekonomi dapat diteruskan sehingga PRU15 akan datang.

 

Menurutnya, kerajaan sekarang sudah pun terbuka mengambil kira cadangan-cadangan termasuk daripada pembangkang, penambahan siling Dana COVID-19 sebanyak RM45 billion untuk membantu rakyat (jumlah keseluruhan RM110 billion), ekonomi dan meningkatkan kapasiti kesihatan di dalam Pelan Pemulihan Negara. – DagangNews.com