Pas Keluarga Malaysia galak orang ramai guna pengangkutan awam- PM | DagangNews Skip to main content

Pas Keluarga Malaysia galak orang ramai guna pengangkutan awam- PM

 

NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR
azan@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 22 Nov - Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob melancarkan Pas Keluarga Malaysia bagi membolehkan seramai empat orang dalam satu keluarga menikmati perjalanan satu hari tanpa had pada Sabtu, Ahad dan cuti umum pada harga RM15.

 

Beliau berkata, menerusi pengenalan pas itu, orang ramai boleh menggunakan perkhidmatan LRT (Transit Aliran Ringan), MRT (Transit Aliran Massa) dan monorel kendalian Rapid KL dan BRT (Transit Aliran Bas) sepanjang hari pada harga RM3.75 seorang.

 

"Inisiatif pengenalan Pas Keluarga Malaysia ini bertujuan menggalakkan keluarga Malaysia beriadah, bersiar-siar dan menghabiskan masa berkualiti dengan orang tersayang sambil mengunjungi pusat-pusat beli belah atau tempat-tempat menarik yang terdapat di sekitar jaringan pengangkutan awam di Kuala Lumpur dan Selangor.

 

"Saya percaya kemudahan pengangkutan awam yang efisien dan ketersambungan adalah penting bagi mobilisasi Keluarga Malaysia," katanya ketika Majlis Pelancaran Pas #KELUARGAMALAYSIA 2021, hari ini.

 

Turut hadir Pengerusi Kumpulan Prasarana Malaysia Berhad, Tan Sri Jamaludin Ibrahim dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Azharuddin Mat Sah

 

Difahamkan Prasana turut memperahakan imej ‘Keluarga Malaysia’ dengan membuat balutan bas atau ‘bus wrap’ untuk dua unit bas Rapid KL selain tren sebagai sokongan kepada kempen ‘Keluarga Malaysia'.

 

Sementara itu, Ismail Sabri turut mengumumkan bahawa Prasaran menerusi anak syarikatnya, Integrated Development Sdn. Bhd. atau PRIDE akan menawarkan “Pakej Transit untuk Pengusaha Industri Kecil dan Sederhana” mulai bulan Mac 2022. 

 

Perdana Menteri berkata, menerusi pakej itu, sejumlah 20 lot perniagaan, bersaiz antara 80 hingga 400 kaki persegi di beberapa laluan akan ditawarkan kepada pengusaha Industri Kecil dan Sederhana secara cabutan lot melibatkan Laluan Kelana Jaya iaitu stesen Subang Alam, Alam Sutera, Putra Height, Taman Perindustrian Puchong, Awan Besar, IOI Puchong Jaya, Plaza Rakyat dan SS18.

 

"Pemohon yang berjaya akan menikmati struktur sewaan istimewa selama setahun termasuk pengecualian sewa selama tiga bulan. Perincian dan permohonan untuk “Pakej Transit” akan diwar-warkan oleh PRIDE dalam masa terdekat. 

 

"Saya juga mengambil kesempatan ini untuk menggalakkan pengusaha industri kecil dan sederhana untuk mengambil bahagian dan memperkasakan ekonomi setempat agar dapat melimpahkan kesejahteraan dan manfaat kepada seluruh Keluarga Malaysia," katanya.

 

Perdana Menteri berkata, sejak bermulanya pandemik COVID-19, Prasaran sudah mengambil inisiatif bagi membantu usahawan kecil dalam meningkatkan hasil jualan peniagaan mereka.

 

Beliau berkata, bertemakan Rapid KL Supports #KeluargaMalaysia, Kumpulan Prasarana menerusi Divisyen Komunikasi Strategik dan Pemasaran menggunakan platform-platform media sosial kendaliannya, untuk mempromosikan produk peniaga-peniaga berasaskan makanan di sepanjang laluan pengangkutan kendalian Rapid KL termasuk di hab-hab bas. 

 

Katanya, menerusi kempen itu, Prasarana bukan sahaja membeli produk dan mencipta kandungan media sosial malahan membantu dari aspek pemasaran, promosi dan penjualan dalam talian supaya perniagaan boleh berkembang dengan baik dan menularkan produk mereka sekaligus meningkatkan hasil jualan. 

 

"Terima kasih saya ucapkan kepada Prasarana atastanggungjawab sosial korporat yang telah diberikan bagi membantu para peniaga menjana semula ekonomi mereka yang terkesan akibat pandemik," katanya.-Dagangnews.com