KUALA TERENGGANU 4 Sept - Pembangunan semula kompleks perniagaan Pasar Kedai Payang di bandaraya ini bakal mengukuhkan lagi peranannya sebagai nadi ekonomi terutama untuk peniaga dan penjaja kecil-kecilan serta tarikan pelancong di Terengganu.
Datuk Bandar Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT), Datuk Rosli Latif berkata, sejak beroperasi secara berperingkat pada 1 Ogos lalu, pihaknya telah menerima maklum balas yang sangat memberangsangkan dari pelbagai pihak terutama pengunjung.
Menurutnya, Pasar Kedai Payang 1 kini lebih ceria dan menyediakan pelbagai kemudahan selesa untuk pengunjung berbanding premis perniagaan yang dibina pada tahun 1968 sebelum ini.
"Selain itu penyusunan semula kompleks perniagaan ini juga memberi nafas baharu yang lebih segar untuk peniaga dan pengunjung dengan mengasingkan segmen perniagaan agar lebih sistematik.
"Sistem baharu ini membolehkan pengunjung datang ke Pasar Kedai Payang 1 untuk mencari pelbagai produk warisan, kesenian, barangan kemas, peralatan dapur, cenderahati dan barangan tradisional yang lain.
"Pasar Kedai Payang 2 pula yang terletak bersebelahan memfokuskan kepada segmen jualan pasar basah seperti keropok lekor, daging, ikan, kuih-muih, sayur-sayuran, buah-buahan serta medan selera.
"Kita optimis pembaharuan ini akan memberi impak positif kepada lebih 1,000 komuniti peniaga dan penjaja kecil di sekitar Pasar Kedai Payang sekaligus merancakkan lagi industri pelancongan di Terengganu," katanya kepada DagangNews.com hari ini.
Sementara itu Pengerusi Persatuan Pasar Payang dan Bazar Warisan, Ahmad Shukri Abdullah berkata, pihaknya yakin peniaga bakal mendapat lebih banyak manfaat hasil pembangunan semula itu berdasarkan perancangan dan strategi yang telah diatur MBKT.
Menurutnya, kewujudan ruang legar yang luas di Pasar Payang 1 akan menjadi lokasi tumpuan penganjuran pelbagai acara kebudayaan, warisan dan kesenian berskala besar tidak lama lagi.
"Kami yakin kemudahan yang disediakan seperti eskalator, bilik persalinan bayi, lif, surau, dan kamera litar tertutup (CCTV) akan menjadikan pengalaman berkunjung ke Pasar Kedai Payang lebih selesa dan selamat untuk pelancong," katanya.
Pengerusi Persatuan Penjaja dan Peniaga Kecil Melayu Terengganu cawangan Kuala Terengganu, Zakaria Yusof pula berkata, walaupun agak kekok kerana terpaksa 'dipisahkan' segmen jualan, pihaknya tetap optimis penyusunan semula itu memberi lebih banyak kesan positif pada masa akan datang.
"Sebelum ini, semua peniaga berada di bawah satu bumbung namun penyusunan semula ini mengasingkan segmen jualan mengikut yang telah ditetapkan MBKT.
"Namun kami yakin semuanya akan berjalan lancar dan Pasar Kedai Payang akan kekal utuh sebagai nadi ekonomi di pusat bandaraya Kuala Terengganu dan lokasi pelancongan berasaskan warisan, kesenian dan sejarah yang menjadi tumpuan dunia pada masa akan datang," katanya.
Seorang peniaga kraftangan dan cenderahati, Amira Mohd Yusuf, 26 berkata, ramai pengunjung memuji keselesaan Pasar Kedai Payang 1 kerana susun atur kedai yang lebih kemas dan ruang pejalan kaki yang lebih lebar memudahkan mereka membeli belah dengan lebih selesa.
"Pengunjung kata pasar baharu ini lebih tersusun, banyak pilihan, bersih dan mereka berasa lebih selamat dengan kewujudan banyak CCTV yang dipasang," katanya yang meneruskan legasi perniagaan datuknya sejak tahun 1975 di pasar ikon Terengganu itu.
Pasar Kedai Payang 1 yang dibina semula di atas tapak asal dengan kos RM70.03 juta itu adalah projek yang diluluskan kerajaan persekutuan memandangkan bangunan lama sudah terlalu uzur dan dhaif.
Kerja-kerja pembinaan semula Pasar Kedai Payang itu melibatkan pembinaan bangunan dua tingkat bagi menempatkan lebih 400 lot kedai, 369 petak jualan dan tandas orang kurang upaya (OKU). - DagangNews.com