Pasaran berakhir suram ekoran kemelut politik, sebaliknya saham DNeX, Serba Dinamik, BCM, Seal paling rancak diniagakan | DagangNews Skip to main content

Pasaran berakhir suram ekoran kemelut politik, sebaliknya saham DNeX, Serba Dinamik, BCM, Seal paling rancak diniagakan

 

 

Oleh ZUNAIDAH ZAINON
zunaidah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 4 Ogos - Bimbang dengan kemelut politik yang berlaku, menyaksikan dagangan berakhir suram petang ini meskipun kenyataan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dilihat memberi sedikit kelegaan kepada pasaran.

 

Indeks utama FBM KLCI susut 8.93 mata atau 0.6% kepada 1,491.33 mata setelah dagangan hari ini mencecah paras serendah 1,483.73 mata.

 

Setelah berdepan desakan pelbagai pihak terutama UMNO yang menarik sokongan terhadap kerajaan Perikatan Nasional, Muhyiddin dalam perutusan tengah hari tadi tampil menyatakan masih memegang jawatan sebagai Perdana Menteri. 

 

Malah, beliau turut menjelaskan kedudukannya masih utuh dan mempunyai sokongan majoriti ahli Dewan Rakyat selepas selesai sesi mengadap dengan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah pada pukul 11 pagi tadi di Istana Negara.

 

Sehubungan itu, beliau menyembah maklum kepada Seri Paduka untuk membentangkan usul undi percaya, menjelang sidang Dewan Rakyat, September ini bagi menentukan keabsahan sebagai Perdana Menteri.

 

Mengulas mengenai pasaran hari ini, Ahli Ekonomi Bank Islam Malaysia Bhd., Adam Mohamed Rahim berkata, pelabur sudah mula mencerna perkembangan terkini politik tanah air manakala jangkitan harian COVID-19 pula merekodkan kes tertinggi setakat ini.  

 

Malaysia hari ini merekodkan kes jangkitan mencecah hampir 20,000 iaitu 19,819 kes dengan 5 negeri mencatat kes harian melebihi 1,000 iaitu Selangor, Kuala Lumpur, Johor, Kedah dan Kelantan. 

 

"Berbanding pasaran Asia yang lain, kebanyakannya mencatat keuntungan hari ini setelah memperoleh kelebihan daripada syarikat yang merekodkan keuntungan korporat yang kukuh di Wall Street," katanya. 

 

Menurut beliau, dalam kalangan saham wajaran tinggi, saham Dialog Group Bhd. dan Telekom Malaysia Bhd. (TM) masing-masing susut 11 sen kepada RM2.59 dan 18 sen kepada RM5.78.

 

Dari segi sektor pula, katanya, indeks penjagaan kesihatan serta pengangkutan dan logistik diheret turun sekurang-kurangnya 1.2% dalam dagangan hari ini. 

 

Dalam kalangan kaunter aktif, menyaksikan saham Dagang Nexchange Bhd (DNeX) diniagakan paling rancak dengan 195.8 juta pada harga 75.5 sen setelah menokok 0.35 sen. 

 

Ini diikuti dengan saham Serba Dinamik Holdings Bhd., naik 0.005 sen kepada 41 sen manakala BCM Alliance Bhd. menokok 0.005 sen kepada 15.5 sen dan Seal Incorporated Bhd. ditutup pada 42.5 sen setelah meningkat 0.35 sen. 

 

Saham Genetec Technology Bhd. pula mendahului kaunter untung apabila ditutup tinggi pada RM23.30 setelah menokok 30 sen dengan 708,500 saham diniagakan.  

 

BIG Industries Bhd. dan PIE Industrial Bhd. juga masing-masing menokok 26 sen kepada RM1.62 dan 22 sen kepada RM3.43. 

 

Sebaliknya, saham Malaysian Pacific Industries Bhd. (MPI) mencatat kerugian apabila ditutup paling rendah pada RM45.10 setelah susut 70 sen dengan 103,600 saham diniagakan. 

 

Ia diikuti dengan saham Nestle Malaysia Bhd. susut 70 sen kepada RM133 diikuti Vitrox Corp. Bhd. susut 48 sen kepada RM19.50. 

 

Keseluruhan dagangan hari ini menyaksikan kaunter rugi mengatasi untung pada 685 berbanding 333 manakala 411 kaunter tidak berubah. Sebanyak 3.67 bilion saham bertukar tangan bernilai RM2.54 bilion. - DagangNews.com