Oleh ZUNAIDAH ZAINON
zunaidah@dagangnews.com
KUALA LUMPUR 10 Sept. - Pasaran buruh dilihat akan terus lemah, sekali gus menyaksikan kadar pengangguran akan terus kekal tinggi sepanjang tahun ini.
Situasi semasa pandemik yang masih berterusan dan pelaksanaan sekatan pergerakan pada pertengahan tahun ini, meningkatkan kadar pengangguran untuk tempoh masa tertentu sebelum kembali ke paras sebelum pandemik.
Sehubungan itu, MIDF Research menyemak semula unjuran kadar pengangguran tahun ini lebih tinggi kepada 4.5% berbanding 4.3% sebelum itu.
Bagaimanapun, menurutnya, sekatan pergerakan yang semakin dilonggarkan membolehkan lebih banyak aktiviti perniagaan kembali beroperasi dan mempertimbangkan untuk membuka pengambilan pengambilan pekerja dalam beberapa bulan akan datang.
"Penggunaan yang kembali pulih akan menyumbang kepada prospek pengambilan pekerja yang positif apabila syarikat mula meningkatkan permintaan buruh sejajar bagi memenuhi permintaan.
"Ini akan menyaksikan sektor pembuatan akan kembali kukuh apabila lebih banyak kilang dibenarkan beroperasi dengan kapasiti penuh," katanya dalam nota kajian hari ini.
Baca : Kadar pengangguran 4.8%, meningkat kepada 778,200 orang pada Julai 2021
Menurut Jabatan Perangkaan, kadar pengangguran pada Julai kekal tidak berubah pada 4.8% walaupun jumlah penganggur meningkat 2 bulan berturut-turut.
Ia menyaksikan bilangan penganggur meningkat kepada 778,200 orang berbanding 768,700 pada Jun, kadar tertinggi sejak Februari tahun ini.
Keadaan ini disebabkan pelaksanaan sekatan pergerakan yang berlarutan dan perintah kawalan pergerakan diperketatkan (PKPD) di beberapa kawasan terpilih di Selangor dan Kuala Lumpur.
Sementara itu, UOB Global Economics & Markets Research berkata, ketidakpastian mengenai varian baharu COVID-19 dan prospek perniagaan akan terus mempengaruhi pasaran buruh di negara ini.
Situasi ini, katanya, akan menyaksikan kadar pengangguran kekal tinggi daripada paras sebelum pandemik dalam tempoh terdekat.
"Sehubungan itu, kami mengekalkan unjuran kadar pengangguran tahun ini pada 4.5% berbanding akhir 2019, 3.3%," katanya.
Hong Leong Investment Bank (HLIB) Research turut mengekalkan kadar pengangguran tahun ini lebih tinggi pada 4.8% berdasarkan pasaran buruh yang lemah pada Julai.
"Bagaimanapun, situasi semasa pasaran buruh boleh kembali meningkat terutama apabila Lembah Klang mula beralih ke fasa kedua mulai 10 September dan perniagaan dibenarkan beroperasi setelah pekerja divaksinkan," katanya.
Dalam pada itu, Kenanga Investment Bank Research berkata, pelbagai dasar yang dilaksanakan kerajaan secara berterusan, aktiviti sektor pembuatan berorientasikan eksport yang kekal kukuh dan melepaskan permintaan terpendam (pent-up demand) yang tidak dijangka akan meningkankan aktiviti pengambilan pekerja menjelang akhir tahun ini.
"Tetapi, risiko penurunan masih kekal mempengaruhi situasi pasaran buruh terutama dengan penularan varian Delta, boleh menghalang usaha pemulihan ekonomi negara," katanya.
Firma itu mengekalkan unjuran kadar pengangguran tahun ini pada 4.5% berdasarkan prestasi pasaran buruh yang masih kekal tinggi selama 2 bulan berturut-turut.
Sebaliknya, AmInvestment Bank Research menjangkakan kadar pengangguran tahun ini lebih tinggi antara 5 hingga 5.2%, berbanding unjuran Bank Negara Malaysia (BNM) antara 4 hingga 5%.
Menurutnya, sentimen masih kekal lemah dalam persekitaran perniagaan ekoran langkah sekatan pergerakan yang masih berpanjangan, dan negara juga masih berdepan dengan kadar jangkitan harian yang tinggi.
Namun, Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan dapat meningkatkan keyakinan dalam kalangan isi rumah dan juga perniagaan.
"Dengan adanya pelbagai inisiatif untuk menyokong isi rumah dan perniagaan, kami jangkakan kadar pengangguran sedikit berkurangan pada suku keempat ini," katanya. - DagangNews.com