Skip to main content

Kadar pengangguran 4.8%, meningkat kepada 778,200 orang pada Julai 2021

 

KUALA LUMPUR 9 Sept - Laporan Tenaga Buruh bagi Julai 2021 yang diterbitkan Jabatan Perangkaan hari ini, kadar pengangguran kekal 4.8% dengan bilangan penganggur meningkat sedikit kepada 778,200 orang berbanding bulan sebelumnya.

 

Pasaran buruh negara telah pulih secara beransur-ansur sejak awal tahun ini yang mana kadar pengangguran telah berkurangan kepada 4.5% pada Mei 2021 daripada 4.9% pada Januari 2021.

 

Bagaimanapun, pelaksanaan perintah kawalan pergerakan oleh kerajaan akibat peningkatan mendadak kes baharu COVID-19 mulai Jun 2021 telah menyebabkan peningkatan kadar pengangguran kepada 4.8% pada Jun 2021.

 

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, kerajaan memandang serius isu peluang pekerjaan, khususnya pengangguran dalam kalangan belia serta guna tenaga tidak penuh berkaitan masa dan guna tenaga tidak penuh berkaitan kemahiran. 

 

“Sehubungan itu, kerajaan telah menubuhkan Majlis Pekerjaan Negara (MPN) yang dipengerusikan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dengan sasaran mewujudkan 500,000 pekerjaan dan penempatan latihan kemahiran pada tahun ini melalui kerjasama strategik agensi kerajaan serta pemain industri,” katanya.

 

Kedudukan ekonomi negara dijangka lebih kukuh dan kadar pengangguran akan berkurangan mulai bulan ini berikutan peningkatan kadar vaksinasi dan sekiranya lebih banyak negeri beralih keluar daripada Fasa Satu Pelan Pemulihan Negara (PPN), kata beliau.

 

 

tokpa
Datuk Seri Mustapa Mohamed

 

 

Menurutnya, kadar pengangguran di Malaysia dijangka beransur-ansur pulih apabila lebih banyak negeri beralih ke Fasa Dua PPN, khususnya Lembah Klang yang merangkumi Kuala Lumpur, Selangor dan Putrajaya bermula esok.

 

“Peralihan fasa PPN secara berperingkat yang membenarkan lebih banyak aktiviti ekonomi beroperasi dengan pematuhan kepada prosedur operasi standard yang ditetapkan akan memulihkan kembali aktiviti ekonomi secara beransur-ansur,” katanya dalam kenyataan hari ini.

 

Menurut beliau, pembukaan lebih banyak sektor ekonomi di Lembah Klang amat penting kerana ia menyumbang kira-kira 40 peratus kepada keluaran dalam negeri
kasar (KDNK). - DagangNews.com