Pasaran ditutup rendah, di sebalik KDNK suku ketiga | DagangNews Skip to main content

Pasaran ditutup rendah, di sebalik KDNK suku ketiga

 


Oleh ZUNAIDAH ZAINON
[email protected]

 


KUALA LUMPUR 13 Nov. - Di sebalik prestasi ekonomi yang lebih baik pada suku ketiga dengan menguncup 2.7%, pasaran tempatan ditutup rendah petang ini.

 

Indeks FBM KLCI susut 1.09 mata kepada 1,589.69 mata dengan pergerakan jajaran antara 1,572 hingga 1,592.19 mata. 

 

Pasaran menyaksikan 12.58 bilion saham bertukar tangan bernilai RM4.6 bilion dengan kaunter untung mengatasi rugi pada 650 berbanding 531 manakala 450 kaunter tidak berubah. 

 

Pada 9.09 pagi, indeks utama itu jatuh 16.17 mata kepada 1,574.61 mata selepas memulakan dagangan pagi pada 1,588.38 mata. 

 

Bagi pasaran kewangan pula, ringgit mengukuh pada RM4.1240/4.1280 berbanding dolar AS, daripada penutupan semalam, RM4.1330/1380.

 

Pada suku ketiga, ekonomi Malaysia bertambah baik dengan mencatatkan penguncupan lebih kecil sebanyak 2.7% berbanding -17.1% pada suku kedua. 

 

Gabenor BNM, Datuk Nor Shamsiah Mohd Yunus berkata, keadaan yang bertambah baik ini sebahagian besarnya mencerminkan pembukaan semula ekonomi selepas pelaksanaan langkah pembendungan COVID-19 dan keadaan permintaan luaran yang bertambah baik.

 

BNM menjangkakan ekonomi akan kembali pulih pada tahun hadapan, berkembang 6.5 hingga 7.5%, sejajar dengan unjuran Kementerian Kewangan dan badan antarabangsa, Tabung Kewangan Antarabangsa dan Bank Dunia. 

 

Di sebalik penguncupan kecil suku ketiga, bank pusat itu turut mengekalkan penguncupan ekonomi antara 3.5 hingga 5.5% bagi tahun ini. 

 

Namun, menurut Shamsiah, prospek pada 2021 masih bergantung kepada risiko penurunan terutama kepada ekonomi global, disebabkan peningkatan kes jangkitan COVID-19 yang akan menyaksikan langkah sekatan dilaksanakan semula. 

 

MIDF Research berkata, sentimen masih kekal lemah meskipun pertumbuhan ekonomi semakin menunjukkan peningkatan berdasarkan beberapa petunjuk dan perkembangan semasa. 

 

Firma penyelidikan itu dalam nota kajian hari ini mengekalkan unjuran ekonomi tahun ini menguncup pada 4.8%.

 

Menurutnya, ini kerana kes jangkitan COVID-19 semakin meningkat sama ada di negara ini mahupun di seluruh dunia hingga memaksa kerajaan melaksanakan semula PKPB. 

 

Selain itu, katanya, risiko penurunan masih berterusan memandangkan situasi politik masih belum stabil, dasar perlindungan semakin meningkat dan ketegangan geopolitik.

 

Jelas MIDF Research, walaupun PKPB ketika ini tidak ketat seperti mana dilaksanakan kali pertama, ia masih memberi kesan kepada permintaan memandangkan pergerakan fizikal masih dikawal ketat. 

 

"Kami menyedari kesan utama PKPB terhadap ekonomi disebabkan oleh perbelanjaan pengguna yang lebih lemah dan kesan limpahannya kepada industri perkhidmatan terutama subsektor yang berkaitan dengan pengguna seperti perdagangan runcit, restoran, hotel, pelancongan, pendidikan dan perkhidmatan rekreasi. 

 

"Memandangkan sempadan antarabangsa masih ditutup, aktiviti pelancongan domestik akan terbatas ekoran pelaksanakan PKPB," katanya. - DagangNews.com