Pasaran EV Malaysia boleh mencecah 2% menjelang akhir 2024 - EON | DagangNews Skip to main content

Pasaran EV Malaysia boleh mencecah 2% menjelang akhir 2024 - EON

KUALA LUMPUR 15 Ogos - Anak syarikat DRB-HICOM Bhd, Edaran Otomobil Nasional Bhd (EON) mengunjurkan penembusan pasaran kenderaan elektrik (EV) Malaysia mencecah sehingga 2% menjelang akhir tahun, didorong oleh pelancaran model EV tambahan.

 

Ketua Pegawai Eksekutif Edaran Otomobil Nasional Bhd, Akkbar Danial berkata, penembusan pasaran EV tempatan sudah mencapai kira-kira 1.5% setakat Jun 2024.

 

“Tahun ini, saya menjangkakan ia meningkat antara 1.7% dan 2%, didorong oleh kemunculan jenama baharu dan pengenalan model nasional (model kenderaan elektrik pertama Malaysia) seperti Proton e.MAS,” katanya pada sidang media selepas majlis EON dan Sahabat Media Getaway di Bentong, lapor Bernama.

 

Akkbar berkata, pertumbuhan dalam pasaran EV Malaysia boleh dikaitkan dengan peningkatan kesedaran pelanggan dan kesediaan untuk beralih kepada kenderaan elektrik.

 

"Faktor lain yang mempengaruhi pelanggan termasuk ketersediaan stesen pengecasan untuk perjalanan jarak jauh. 

 

"Jika jarak pemanduan berada dalam radius yang selesa, mereka tidak perlu berpindah ke Lembah Klang untuk mendapat manfaat daripada ekosistem EV,” katanya.

 

Beliau juga menekankan fokus syarikat untuk meningkatkan perkhidmatan selepas jualan untuk menambah baik kepuasanpelanggan, ia termasuk pelancaran platform pembiayaan digital bersepadu EON Capital Sdn Bhd yang membolehkan pelanggan menempah dan membeli kereta dalam talian dengan mudah.

 

EON, pengedar rasmi jenama kereta nasional Proton turut mengedarkan jenama global seperti Audi, Mitsubishi dan Volkswagen menerusi anak syarikatnya.

 

Menteri Pengangkutan Anthony Loke Siew Fook baru-baru ini berkata kerajaan akan memastikan keseluruhan ekosistem industry EV dirancang dengan rapi bagi kemudahan pengguna serta untuk menggalakkan lebih banyak penggunaannya pada masa hadapan. - DagangNews.com