Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
[email protected]
KUALA LUMPUR 11 Dis. - Pasaran saham tempatan yang dibuka pagi ini terus melonjak dengan kenaikan 7.38 mata kepada 1,661.77 mata setakat pukul 9.21 pagi ini.
Paras kenaikan yang dicatatkan dalam Indeks penanda aras FTSE Burasa Malaysia KLCI (FBM KLCI) itu diteruskan sejak dibuka semalam yang mencatatkan peningkatan 3.31 mata kepada 1,649.84 mata.
Pasaran yang dibuka hari ini juga lebih tinggi berbanding 1,654.39 mata yang ditutup petang semalam.
Menurut Bloomberg, pasaran saham Asia pada hari ini dibuka bercampur-campur susulan pelabur yang mempertimbangkan prospek rangsangan di Washington terhadap data pekerjaan Amerika Syarikat (AS) yang mengecewakan.
Data pekerjaan AS menunjukkan lebih banyak kawasan perniagaan yang diarah tutup bagi mengekang penularan wabak sekali gus menyebabkan kehilangan pekerjaan.
Selepas pasaran AS ditutup semalam, laporan berkaitan vaksin COVID-19 yang pertama dijangka akan digunakan oleh AS dan mendapat sokongan panel penasihat kerajaan.
Pasaran Jepun dan Korea Selatan bagaimanapun menunjukkan peningkatan, sementara pasaran Australia merosot.
Dalam laporan berbeza, Bloomberg melaporkan bahawa Korea Selatan menjadi salah satu lokasi 'panas' Asia dalam kalangan pelabur untuk merangsang ekonomi jangka panjang global pada tahun 2021. - DagangNews.com