Pasaran masih mendapat tempias positif Belanjawan 2021 | DagangNews Skip to main content

Pasaran masih mendapat tempias positif Belanjawan 2021

 

 

Oleh ZUNAIDAH ZAINON
zunaidah@dagangnews.com

 

 

KUALA LUMPUR 16 Dis. - Pasaran tempatan ditutup tinggi petang ini, menokok 7.39 mata kepada 1,681.41 mata memandangkan sentimen pasaran masih lagi positif didorong sebahagian besarnya oleh kelulusan Belanjawan 2021 yang dicapai semalam.  

 

Indeks petunjuk pasaran FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) naik 0.44% setelah bergerak dalam jajaran antara 1,679.39 hingga 1,695.87 mata. 

 

Jumlah dagangan sebanyak 11.22 bilion bernilai RM5.21 bilion. 

 

Kaunter untung mengatasi rugi pada 830 berbanding 453 manakala 458 kaunter tidak berubah. 

 

Dalam kalangan kaunter untung, Supermax Corp. Bhd. yang pertama kali berada dalam senarai 30 saham utama FBM KLCI melonjak 4.71% kepada RM7.11 sesaham dengan nilai permodalan pasaran, RM18.04 bilion. 

 

Supermax menyertai kelompok tersebut yang akan memulakan dagangan sebagai konstituen KLCI pada 21 Disember menyertai pengeluar sarung tangah getah yang lain termasuk Top Glove dan Hartalega.  

 

Pasaran saham ekonomi baharu muncul di Asia mencatat keuntungan pada Rabu terutama Malaysia meningkat untuk sesi kedua berturut-turut selepas Belanjawan 2021 diluluskan semalam. 

 

Ini secara tidak langsung meningkatkan keyakinan ke arah pemulihan ekonomi yang lebih cepat bagi negara ekonomi ketiga terbesar di rantau Asia Tenggara itu, lapor Reuters. 

 

Indeks pasaran saham Malaysia telah memperoleh sekurang-kurangnya satu pertiga daripada nilai keuntungan selepas mencecah paras terendah pada Mac ekoran jualan besar-besaran disebabkan pandemik COVID-19. 

 

Bagaimanapun, ia meningkat 1.3% dalam dagangan pagi yang bermakna, setakat ini, pasaran saham tempatan sudah menokok hampir 6% tahun ini. 

 

Pemulihan itu dipacu oleh harapan terhadap pemulihan ekonomi global pada tahun hadapan, telah meningkatkan pasaran saham di Asia menjelang minggu-minggu terakhir 2020 meskipun Amerika Syarikat (AS) dan Eropah masih bergelut dengan jangkitan wabak itu. 

 

Firma penyelidikan, CGS-CIMB menjangkakan 2021 akan menjadi tahun yang lebih baik kepada pasaran. 

 

"Ia akan menyaksikan tambahan kecairan daripada rangsangan fiskal kerajaan yang diumumkan dalam Belanjawan 2021. Ini akan membantu melonjakkan minat pembelian," katanya dalam nota kajian hari ini. 

 

Malah, CGS-CIMB mengekalkan unjuran indeks FBM KLCI akhir tahun ini pada 1,628 mata tetapi menyemak semula unjuran menaik bagi 2021 kepada 1,759 mata berbanding sebelum itu, 1.732 mata.   

 

Sementara itu, menurut TA Securities Holdings Bhd., momentum pembelian yang kukuh dan pemulihan ekonomi akan memainkan peranan penting dalam pasaran tempatan untuk tempoh sederhana selepas ketidaktentuan politik dilihat kembali reda apabila Parlimen meluluskan Belanjawan 2021 dengan 111 undian. 

 

Bagi mata wang serantau, menurut Reuters, ringgit bersama rupiah dan baht merosot berbanding dolar AS dalam dagangan tengah hari manakala peso, dolar Singapura dan rupee diniagakan lebih tinggi.  

 

Petang ini, ringgit ditutup pada RM4.0490/0540 berbanding dolar AS, lebih tinggi daripada penutupan semalam, 
RM4.0530/0560. 

 

Setakat 5 petang ini pula, harga minyak mentah Brent susut 0.16% kepada AS$50.63 setong manakala West Texas Intermediate susut 0.13% kepada AS$47.56 setong ekoran peningkatan mendadak dalam inventori minyak mentah AS. 

 

Dalam masa sama, para pelabur juga bimbang dengan permintaan bahan api apabila perintah sekatan semakin diperketatkan di Eropah bagi mengekang penularan wabak COVID-19. - DagangNews.com