Pasaran : 'Rahmat' kenaikan harga minyak | DagangNews Skip to main content

Pasaran : 'Rahmat' kenaikan harga minyak

 

 


Oleh ZUNAIDAH ZAINON
[email protected]

 

 

KUALA LUMPUR 9 Feb. - Kenaikan harga minyak mentah global mencecah paras tertinggi dalam tempoh 13 bulan memberi kekuatan kepada pasaran saham tempatan.

 

Ini mendorong indeks utama FBM KLCI menokok 12.8 mata kepada 1,586.13 mata setelah berlegar dalam jajaran antara 1,574.23 hingga 1,588.96 mata. 

 

Jumlah dagangan sebanyak 7.18 bilion bernilai RM4.71 bilion, berbanding semalam sebanyak 7.04 bilion bernilai RM4.5 bilion. 

 

Bagi keseluruhan pasaran, kaunter untung hampir menyamai rugi pada 585 berbanding 579 manakala 431 kaunter tidak berubah. 

 

Petang ini, ringgit juga ditutup tinggi pada RM4.048/0520 berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) disokong lonjakan harga minyak mentah global. 

 

Semalam ringgit ditutup pada RM4.0630/0680 berbanding dolar AS. 

 

Niaga hadapan Brent bagi April menokok 50 sen atau 0.8% kepada AS$61.06 setong manakala West Texas Intermediate bagi Mac naik 40 sen atau 0.7% kepada AS$58.37 setong, lapor Reuters.

 

Kedua-dua harga minyak itu mencapai paras tertinggi sejak Januari 2020 dalam sesi dagangan awal. Harga awal bulan bagi kontrak minyak ini juga meningkat untuk sesi ketujuh pada Selasa, pencapaian berturut-turut terbaik sejak Januari 2019. 

 

Pengeksport utama Arab Saudi yang menambah pengurangan bekalan pada Februari dan Mac di samping negara anggota Pertubuhan Negara Pengeksport Petroleum (OPEC) dan sekutunya, menyaksikan berlakunya kekangan bekalan sekali gus mengimbangi pasaran global.  

 

Pada masa sama, para pelabur juga berharap pelancaran vaksin COVID-19 akan memulihkan kembali permintaan bahan api global manakala kelemahan dolar AS membantu menaikkan harga komoditi.

 

Menurut Hong Leong IB Research, harga minyak Brent yang melepasi paras AS$60 setong dalam tempoh setahun disokong keyakinan terhadap pemulihan ekonomi global dan pengurangan bekalan oleh pengeluar utama minyak.

 

"Ini menyaksikan saham-saham berkaitan minyak dan gas lebih aktif diniagakan," katanya dalam nota kajian. 

 

Firma itu bagaimanapun menjangkakan indeks KLCI tetap kurang bertenaga terutama minggu dagangan yang pendek menjelang cuti Tahun Baharu Cina.

 

"Kami melihat indeks akan berdepan rintangan dalam tempoh terdekat pada 1,600 hingga 1,618 mata. 

 

"Paras sokongan pula jatuh sekitar 1,538 hingga 1,563 mata di tengah-tengah kenaikan jangkitan COVID-19 dan musim laporan kewangan bulan ini," katanya.  

 

Sementara itu, CGS-CIMB dalam nota kajian mengunjurkan asas KLCI pada 1,759 mata menjelang akhir tahun ini yang mencerminkan kecairan tinggi dalam pasaran dan juga ketidaktentuan politik. 

 

"Namun, kami menjangkakan pasaran akan merekodkan prestasi yang baik pada separuh pertama tahun ini, sebelum berdepan cabaran pada separuh kedua.

 

"Tumpuan kami pada separuh kedua ini termasuklah pertumbuhan hasil korporat yang memuncak pada suku kedua 2021, pakej rangsangan yang lebih progresif dan kemungkinan pilihan raya umum ke-15," katanya.- DagangNews.com