Pasaran saham jatuh kerana Anwar, dakwa Timbalan Menteri MOSTI | DagangNews Skip to main content

Pasaran saham jatuh kerana Anwar, dakwa Timbalan Menteri MOSTI

Ahmad Amzad Hashim

KUALA LUMPUR 23 Sept. - Pengumuman Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menyatakan kejatuhan kerajaan sedia ada memberi kesan kepada prestasi pasaran saham negara.

Timbalan Menteri Sains, Tenaga Dan Inovasi, Ahmad Amzad Hashim berkata, tindakan tersebut juga adalah lebih menjurus kepada politik terdesak yang tiada asas.

"Tengok apa jadi pada pasaran saham pagi ini. Jatuh merudum dengan teruk gara-gara perbuatan beliau.

"Asal dia (Anwar) buka mulut sahaja pasaran saham jatuh merudum," katanya seperti dipetik Astro AWANI hari ini.

Tambah beliau, Anwar sepatutnya lebih sensitif dan bertimbang rasa dengan keadaan kesihatan Yang di-Pertuan Agong yang sedang mendapatkan rawatan di Institut Jantung Negara (IJN).

"Ini tiada angin tiada apa tiba-tiba umum kerajaan jatuh. Saya kira ini adalah bentuk politik terdesak beliau.

"Dia sepatutnya lebih sensitif dan bertimbang rasa dengan keadaan YDP yang sedang mendapatkan rawatan di IJN dan bukannya buat benda yang tiada asas," jelas beliau lagi.

Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini mendakwa telah mendapat sokongan yang kukuh dan meyakinkan daripada Ahli Parlimen untuk membentuk Kerajaan Persekutuan yang baharu.

Bercakap pada sidang media di sini hari ini, Anwar berkata beliau juga telah mendapat perkenan untuk menghadap Yang di-Pertuan Agong pada Selasa, tetapi ditangguhkan berikutan Seri Paduka mendapat rawatan di IJN. - DagangNews.com