Pasaran saham Malaysia cuba naik semula  | DagangNews Skip to main content

Pasaran saham Malaysia cuba naik semula 

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
[email protected]

 

KUALA LUMPUR 1 April - Pasaran saham tempatan cuba untuk meraih lonjakan yang lebih tinggi hari ini selepas menjunam 36 mata ketika ditutup pada petang semalam. 

 

Ketika dibuka pada 9 pagi, indeks penanda aras pasaran utama di Bursa Malaysia, FBM KLCI menokok 6.46 mata atau 0.41% daripada paras yang ditutup, 1,573.51 kepada 1,579.97. 

 

Dagangan pada pagi ini dimulakan positif apabila sebanyak 204 kaunter untung mengatasi 90 kaunter rugi. 

 

Antara saham yang melonjak adalah Malaysian Pacific Industries Berhad, SAM Engineering & Equipment (M) Berhad, Petronas Gas Berhad, Petronas Chemicals Group Berhad, Public Bank Berhad, Ideal United Bintang International Berhad, Unisem (M) Berhad, D & O Green Technologies Berhad, UWC Berhad dan Genetec Technology Berhad.

 

Menurut Rakuten Trade Research, FBM KLCI yang menjunam teruk semalam tercetus oleh ketidaktentuan terhadap landskap politik di negara ini. 

 

“Bagaimanapun, kami menjangkakan penjualan akan berakhir dan meramalkan kemunculan beberapa pemburuan saham murah hari ini. 

 

“Kami juga mendapati dana asing hadir dengan aliran masuk yang positif semalam, oleh itu mengunjurkan indeks berkenaan diniagakan melebihi paras 1,580 dengan 1,570 sebagai sokongan segera,” jelas firma penyelidikan itu dalam nota kajiannya.

 

Prestasi merosot semalam mungkin turut diheret oleh kaunter-kaunter sarung tangan yang jatuh melebihi 2% pada penutupan pasaran pada 5 petang. 

 

Di peringkat antarabangsa, para pelabur pula menterjemah pelan infrastruktur pakej rangsangan di Amerika Syarikat (AS) bernilai AS$2 trilion dengan dagangan yang bercampur-campur di Wall Street.

 

Kata Rakuten Trade, pakej rangsangan yang akan dibiayai oleh cukai korporat itu mencetuskan sentimen sekali gus Dow Jones Industrial Average hilang 85 mata untuk ditutup di bawah paras 33,000. 

 

Sementara itu, kedua-dua indeks utama lain, Nasdaq dan S&P 500 pula ditutup lebih tinggi walaupun kadar hasil Perbendaharaan AS 10 tahun melepasi paras 1.7%.

 

“Ketika ketidaktentuan memuncak, kami percaya pasaran serantau akan terus menonjolkan trend penurunan hari ini,” tambah Rakuten Trade. - DagangNews.com