Pasaran saham Malaysia dibuka tinggi | DagangNews Skip to main content

Pasaran saham Malaysia dibuka tinggi

Gambar Reuters

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
[email protected]

 

KUALA LUMPUR 2 April - Pasaran ekuiti tempatan berjaya dibuka lebih tinggi pada pagi ini didorong oleh pasaran serantau yang turut melonjak semalaman.

 

Ketika dibuka pada 9 pagi, indeks penanda aras pasaran utama di Bursa Malaysia, FBM KLCI menokok 3.87 mata daripada paras yang ditutup pada petang semalam,1,582.64 kepada 1,586.51.

 

Dagangan pagi ini juga menunjukkan prestasi positif, dengan kaunter untung sebanyak 215 mengatasi kaunter rugi, 66. 

 

Sebanyak 1,550 kaunter pula tidak didagangkan.

 

Antara saham yang melonjak adalah Malaysian Pacific Industries Berhad, ViTrox Corporation Berhad, Paragon Globe Berhad, Unisem (M) Berhad, Hengyuan Refining Company Berhad, Top Glove Corporation Berhad, UWC Berhad, D & O Green Technologies Berhad, Greatech Technology Berhad dan Pentamaster Corporation Berhad.

 

Menurut Rakuten Trade Research, bursa tempatan mungkin menyaksikan penumpukan saham memandangkan aktiviti pemburuan ekuiti murah diteruskan. 

 

“Oleh itu, kami menjangkakan FBM KLCI akan didagangkan lebih tinggi dengan 1,590 akan menjadi paras rintangan segera. 

 

“Namun, memandangkan sentimen masih lagi berhati-hati, kami menjangkakan indeks itu akan berlegar antara julat 1,585/90 hari ini,” jelas firma penyelidikan itu dalam nota kajiannya.

 

Di peringkat global, para pelabur berubah positif terhadap pelan infrastruktur pakej rangsangan Joe Biden yang sekali gus melonjakkan ekuiti Amerika Syarikat (AS) lebih tinggi. 

 

“Ketika Dow Jones Industrial Average meningkat 170 mata untuk sekali lagi melepasi paras 33,000, S&P 500 pertama kalinya melebihi paras 4,000 selepas melompat 47 mata. 

 

“Nasdaq juga berakhir lebih tinggi memandangkan kadar hasil perbendaharaan 10 tahun AS menyusut kepada sekitar 1.67%. 

 

“Sejajar dengan ini, kami menjangkakan pasaran serantau akan didagangkan lebih tinggi hari ini,” tambah Rakuten Trade. - DagangNews.com