Pasaran saham Malaysia jatuh 0.17% ekoran ketidakstabilan politik | DagangNews Skip to main content

Pasaran saham Malaysia jatuh 0.17% ekoran ketidakstabilan politik

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 14 Okt. - Pasaran Bursa Malaysia hari ini menyaksikan penurunan, didorong oleh keadaan politik negara yang tidak menentu selain hari pertama pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di Lembah Klang. 

Setakat 9.04 pagi, KLCI merudum sebanyak 0.17% atau 2.65 mata, mencecah paras 1,522.55.

Rakuten Trade Research berkata, KLCI akan menerima tekanan ekoran keadaan politik negara kekal tidak stabil. 

“Ketika negara memasuki hari pertama PKPB di Lembah Klang, kami percaya indeks penanda aras akan menguji paras 1,510 yang merupakan tahap sokongan segera,” kata nota kajian hariannya. 

Semalam, Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim mendakwa beliau mempunyai sokongan lebih 120 Ahli Parlimen yang dipersembahkan kepada Yang di-Pertuan Agong. 

Bagaimanapun, Istana Negara mendedahkan Anwar tidak mengemukakan senarai nama berkenaan, sebaliknya menasihati beliau untuk akur dan menghormati proses perundangan.

Pada lewat malam tadi, UMNO pula mengeluarkan kenyataan bahawa parti itu mempertimbang untuk menarik diri dari menyokong Perikatan Nasional yang merupakan tampuk kepimpinan hari ini. 

Parti itu bakal memberikan syarat baharu kepada kerajaan Perikatan Nasional bagi meneruskan kerjasama politik, secara perjanjian bertulis untuk dilaksanakan secepat mungkin. 

Sementara itu, pasaran serantau pula dijangka tidak menentu ekoran terdapat beberapa aktiviti penjualan saham berlaku. - DagangNews.com