Oleh ANIS FARHANAH MALEK
[email protected]
KUALA LUMPUR 30 Mac - Pasaran saham tempatan dibuka lebih rendah pada dagangan awal pagi ini didorong oleh Wall Street yang diniagakan dengan berhati-hati.
Ketika dibuka pada 9 pagi, indeks penanda aras pasaran di Bursa Malaysia, FBM KLCI menyusut 5.13 mata daripada paras yang ditutup semalam, 1,611.28 kepada 1,606.15.
Dagangan pada pagi ini menyaksikan sebanyak 219 kaunter rugi mengatasi 216 kaunter untung.
Antara saham yang menyusut pada pagi ini termasuk Petronas Dagangan Berhad, Top Glove Corporation Berhad, Axiata Group Berhad, Hap Seng Consolidated Berhad, Cheetah Holdings Berhad, Hartalega Holdings Berhad, Airasia Group Berhad, Berjaya Food Berhad, Genting Plantations Berhad dan Malayan Cement Berhad.
Rakuten Trade Research berkata, prestasi yang ditonjolkan oleh FBM KLCI semalam mengejutkan dengan sokongan oleh beberapa pembelian asing.
“Walaupun kami percaya indeks itu akan mengalami peralihan negatif dengan 1,615 sebagai paras rintangan segera, namun berita mengenai Malaysia akan mengekalkan keahliannya dalam Indeks Bon Kerajaan Dunia (WGBI) FTSE mungkin melonjakkan minat membeli.
“Oleh itu, kami menjangkakan dana asing akan mengekalkan aliran masuknya memandangkan indeks itu mungkin ‘berusaha’ untuk memecah paras 1,620 hari ini,” jelas Rakuten Trade Research dalam nota kajiannya hari ini.
Semalam, FTSE Russell mengumumkan penyingkiran Malaysia daripada senarai pemerhatian yang berpotensi untuk dibuang dan sebaliknya mengekalkan negara ini dalam WGBI.
Di peringkat global, sentimen di Wall Street bertukar berhati-hati memandangkan kadar hasil perbendaharaan Amerika Syarikat (AS) 10 tahun ditutup lebih tinggi, melepasi paras 1.7%.
Walaupun Dow Jones Industrial Average mengakhiri sesi dengan satu lagi paras tertinggi iaitu 33,171, lonjakan hampir 100 mata, namun kedua-dua S&P 500 dan Nasdaq tersungkur, jelas Rakuten Trade.
“Ketika adanya ketidaktentuan ekuiti yang memuncak, kami menjangkakan pasaran serantau akan bercampur-campur hari ini selepas dua hari menonjolkan prestasi kukuh,” ujar Rakuten Trade lanjut. - DagangNews.com