Oleh ANIS FARHANAH MALEK
[email protected]
KUALA LUMPUR 1 Dis. - Pasaran saham Malaysia melonjak lebih tinggi dalam dagangan awal hari ini selepas menjunam semalam.
Ini mungkin didorong oleh niaga hadapan yang tinggi di Amerika Syarikat (AS) selain peningkatan di rata-rata saham Asia.
Setakat 9.02 pagi, penanda aras saham Malaysia, KLCI mencecah 1,587.68, melompat 24.97 mata atau 1.60% daripada paras ditutup semalam, 1,562.71.
Rakuten Trade Research berkata, pasaran tempatan bakal menyaksikan pelabur memburu saham murah yang berkaitan indeks lemah.
Dalam masa sama, berita perkembangan vaksin COVID-19 oleh Moderna Inc. mungkin mendorong minat terhadap saham berkaitan vaksin seperti Kanger, Solution dan Ho Wah Genting Berhad (HWGB), jelas Rakuten Trade.
“Semalam, pasaran tempatan menyaksikan indeks KLCI menjunam mencecah 1,562.71 kerana pengimbangan semula portfolio namun keseluruhan pasaran (market breadth) kekal positif,” kata Rakuten Trade dalam nota kajian pasarannya.
Sementara itu, menurut Bloomberg, saham Asia dan niaga hadapan AS didagangkan tinggi hari ini memandangkan para pelabur tidak menghiraukan penurunan semalaman dan sekali lagi merangkumi aset berisiko.
Pasaran saham melonjak di Jepun, Australia dan Korea Selatan.
Dalam pada itu, niaga hadapan S&P 500 turut meningkat selepas penanda aras berkenaan menjunam hampir lebih seminggu walaupun ditutup pada paras lebih baik sejak April lalu. - DagangNews.com