Pasaran semikonduktor negara diunjur berkembang pada CAGR sebanyak 7.1% bermula 2023 hingga 2028 | DagangNews Skip to main content

Pasaran semikonduktor negara diunjur berkembang pada CAGR sebanyak 7.1% bermula 2023 hingga 2028

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 18 Julai - BIMB Securities meramalkan nilai pasaran semikonduktor Malaysia berkembang pada kadar pertumbuhan tahunan terkompaun (CAGR) lima tahun sebanyak 7.1% bermula 2023 hingga 2028.

 

Katanya, perkembangan itu didorong peningkatan penggunaan kecerdasan buatan (AI), internet kebendaan (IoT) dan kenderaan lektrik (EV) bersama-sama dengan kemajuan pesat dalam pusat data serta jualan telefon pintar 5G yang semakin meningkat.

 

"Selain itu, ketegangan perdagangan antara Amerika Syarikat (AS)-China berterusan dan strategi China Plus One juga memberi kesan positif kepada negara.

 

"Malaysia bersedia menjadi alternatif kepada pasaran semasa dengan keupayaan R&D yang dimiliki selain infrastruktur termaju," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Firma penyelidikan itu berkata, syarikat perkhidmatan teknologi maklumat (IT) menerima manfaat daripada pasca pemulihan COVID-19 dan usaha pendigitalan kerjaaan dalam meningkatkan kecekapan serta ketelusan perniagaan.

 

Katanya, pengeluaran passport Malaysia sebagai contoh telah mencapai 3 juta pada 2023 melepasi paras pra pandemik iaitu sekitar 2 juta hingga 2.5 juta.

 

Permintaan dijangka kekal kukuh dengan lanjutan perjanjian perjalanan tanpa visa Malaysia-China sehingga 31 Disember 2025, yang memanfaatkan Datasonic Group Bhd sebagai penyedia pasport tunggal.

 

"Sokongan kerajaan untuk sistem tetingkap tunggal Malaysia-China bagi perdagangan rentas sempadan juga akan memberi manfaat kepada syarikat seperti MyEG Services Bhd yang bersedia untuk menyediakan perkhidmatan Ztrade kepada pengguna. 

 

"Kami melihat perkembangan ini secara positif kerana ia memupuk inovasi dan pengembangan, sekali gus menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi digital Malaysia," katanya.

 

Firma penyelidikan itu mengekalkan saranan 'overweight' terhadap sektor teknologi disokong permintaan untuk produk semikonduktor, dasar kerajaan yang menokong dan inisiatif strategik yang tertumpu kepada pembangunan infrastruktur. 

 

Katanya, Dagang NeXchange Bhd (TP: 58 sen sesaham) dan MyEG (TP: RM1.21) merupakan pilihan utama mereka. - DagangNews.com