Pasaran tempatan susut lagi, turun 3.63 mata | DagangNews Skip to main content

Pasaran tempatan susut lagi, turun 3.63 mata

KLCI

Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
arief@dagangnews.com

 

 

KUALA LUMPUR 24 Mac. - Pasaran tempatan yang dibuka pagi ini dilihat terus 'suram' apabila terus susut berbanding penutupan semalam.

 

Indeks penanda aras utama di Bursa Malaysia, FBM KLCI dalam pembukaan pagi ini susut 3.63 mata kepada 1,591.66 berbanding penutupan semalam iaitu 1,596.29 mata.

 

Bagaimanapun, setelah diniagakan hingga pukul 9.24 pagi hari ini, indeks berkenaan menyaksikan sedikit kenaikan kepada 1,592.40 mata.

 

FBM KLCI ditutup rendah semalam di bawah paras 1,600 mata susulan kelemahan pasaran serantau.

 

Penyusutan saham tempatan dalam penutupan semalam diheret oleh penurunan saham Petronas Chemicals Group Berhad (PCHEM), Axiata Group Berhad (Axiata) dan Public Bank Berhad (PBBANK).

 

Di peringkat global, Wall Street turut merosot susulan kebimbangan pemulihan ekonomi global akibat peningkatan kes COVID-19 di beberapa negara.

 

Dow Jones Industrial Average (DJI Average) susut 308 mata untuk ditutup di bawah paras 32,500 mata semalam, sementara Nasdaq juga turut merosot hampir 150 mata.

 

Sementara itu, Rakuten Trede Research berkata, pihaknya percaya bahawa pasaran serantau akan terus berada dalam mod penyatuan ketika keadaan turun naik meningkat.

 

"Kami berpendapat bahawa FBM KLCI mungkin akan menyaksikan situasi pemburuan tawar-menawar terjadi meskipun dalam keadaan berhati-hati berikutan prestasi penutupan yang lebih rendah semalam iaitu di bawah paras 1,600 mata.

 

"Walaupun begitu, kelemahan pasaran dengan sentimen pelabur yang lebih berhati-hati memberi jangkaan kepada kami bahawa indeks akan meningkat antara julat 1,590-1,600 mata hari ini.

 

"Jangkaan itu dibuat kerana tiadanya pemangkin pembelian yang jelas," jelas Rakuten Trede. - DagangNews.com